KUALA LUMPUR: Aplikasi media sosial China, RedNote, mencatat lonjakan populariti di Amerika Syarikat (AS) ketika larangan ke atas TikTok semakin hampir.
Aplikasi dikenali sebagai Xiaohongshu di China, kini menjadi tumpuan sebagai alternatif TikTok, yang berdepan larangan pada 19 Januari atas alasan keselamatan negara.
Lonjakan itu berlaku ketika pengguna AS berusaha mencari platform baharu selepas amaran bahawa ByteDance, pemilik TikTok, perlu menjual aplikasi itu atau menghadapi sekatan sepenuhnya di negara tersebut, lapor Reuters.
TikTok, yang digunakan oleh 170 juta rakyat Amerika, menjadi sasaran pentadbiran AS kerana kebimbangan terhadap privasi data dan potensi pengawasan oleh kerajaan China.
Di RedNote, dalam sesi sembang langsung bertajuk ‘TikTok Refugees’ pada Isnin menarik lebih 50,000 pengguna dari AS dan China.
Perbincangan spontan antara pengguna dari dua negara itu merangkumi topik seperti makanan, budaya, dan pengangguran belia.
Sesetengah pengguna menganggap perpindahan itu sebagai satu bentuk protes.
Sementara itu, data menunjukkan peningkatan mendadak pengguna RedNote di AS. Dalam masa dua hari, lebih 700,000 pengguna baharu menyertai platform itu, dan muat turun meningkat lebih 200 peratus berbanding tahun sebelumnya.
RedNote kini berusaha memanfaatkan perhatian global untuk menyaingi populariti TikTok.
TikTok sebelum ini, menjadi subjek kontroversi di Amerika Syarikat (AS) berikutan kebimbangan mengenai keselamatan data dan potensi pengaruh asing.
Pada 24 April 2024, Presiden Joe Biden, menandatangani undang-undang yang memberi ByteDance tempoh 270 hari untuk menjual operasi TikTok di AS atau menghadapi larangan penuh.
Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Agung AS mendengar hujah daripada peguam kerajaan yang menyatakan bahawa TikTok menimbulkan risiko keselamatan negara, manakala peguam TikTok menegaskan bahawa syarikat tidak pernah berkongsi data pengguna dengan China.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.