
LONDON: Kira-kira 1,000 pondok telefon merah di Britain kini ditawarkan kepada komuniti untuk dijadikan “anak angkat” ekoran penurunan berterusan penggunaan telefon berbayar, lapor Agensi Berita (dpa) Jerman.
Pondok telefon merah itu direka oleh arkitek Sir Giles Gilbert Scott dalam satu pertandingan pada tahun 1924.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berlaku penurunan besar-besaran penggunaan telefon berbayar di UK apabila 98 peratus daripada populasi dewasa kini menggunakan telefon bimbit selain penambahbaikan dalam liputan mudah alih.
Kini terdapat kira-kira 20,000 telefon berbayar yang masih berfungsi di seluruh UK, dengan kira-kira 3,000 daripadanya kiosk berwarna merah.
Bilangan pondok telefon memuncak pada tahun 1990-an dengan kira-kira 100,000 buah.
British Telecommunications (BT) kini menggesa komuniti untuk terus memanfaatkan skim anak angkat kiosnya untuk membantu mengubah pondok telefon merah yang kurang digunakan itu untuk tujuan lain.
Sejak BT memperkenal program “Adopt a Kiosk” pada tahun 2008, lebih daripada 7,200 pondok telefon telah dijadikan anak angkat oleh komuniti di seluruh UK dengan hanya £1 setiap satu yang antara lain dijadikan sebagai unit defibrilator dan perpustakaan, galeri seni mini dan muzium tempatan.
Ketua jalan di BT Michael Smy berkata berdasarkan pondok merah ikonik ini akan mencecah usia 100 tahun, ini merupakan peluang terbaik untuk komuniti mengekalkan pondok di kawasan mereka dengan membelinya dengan harga £1 melalui skim Adopt a Kiosk kami.
Banyak pondok yang telah ditukar menjadi aset komuniti yang bernilai tinggi, katanya. – BERNAMA-dpa