Tumpuan :
Dunia

Rashford lakukan kesilapan dan sudah minta maaf – Ten Hag

Kemerosotan prestasi Rashford menjadi faktor utama United mengharungi permulaan musim yang memalukan. – Foto AGENSI

MANCHESTER: Marcus Rashford sudah meminta maaf kerana berhibur di kelab malam selepas kekalahan 3-0 kepada Manchester City hujung minggu lalu ujar pengendali Manchester United, Erik ten Hag.

“Saya ada bercakap dengannya (Rashford). Ia tidak boleh diterima, saya memberitahunya, dia meminta maaf dan itu sahaja. Selebihnya adalah hal dalaman.

“Dia bersemangat untuk memperbetulkan keadaan. Saya tahu dia sedang berusaha. Dia melakukan kesilapan, tetapi tidak bermakna dia tidak bersama kami,” kata Ten Hag.

Kemerosotan prestasi Rashford menjadi faktor utama United mengharungi permulaan musim yang memalukan.

Pemain England itu meledak 30 gol untuk kelabnya musim lalu, tetapi hanya sekali menemui sasaran dalam 14 penampilan musim ini.

United tewas lapan daripada 15 perlawanan pertama dalam semua pertandingan – permulaan paling buruk sejak musim 1963/64.

Tekanan ke atas Ten Hag semakin memuncak selepas kekalahan kepada City di Old Trafford disusuli dengan penyingkiran daripada Piala Liga – hasil kekalahan 0-3 di tangan Newcastle.

Rashford memulakan perlawanan itu di bangku simpanan.

United akan bertandang ke Fulham untuk aksi Liga Perdana Inggeris pada Sabtu sebelum pertemuan penting Liga Juara-Juara Eropah di FC Copenhagen pada pertengahan minggu. – AGENSI

Loading...
Terkini