Tumpuan :
Dunia

Ramai rakyat Mesir tidak mampu lakukan ibadah korban susulan inflasi dan kejatuhan mata wang

FOTO: REUTERS

KAHERAH: Harga ternakan melambung akibat inflasi tinggi dan kejatuhan nilai mata wang menjejaskan persediaan sambutan Aidiladha rakyat Mesir, sekali gus menyaksikan perayaan itu bakal diraikan dalam suasana suram.

Aidiladha atau Hari Raya Korban bermula 28 Jun ini adalah sambutan yang dinanti-nantikan di negara Islam. Kebiasaan golongan berada di Mesir gemar melakukan upacara ibadah korban.

Namun kini mereka lebih cenderung membeli secara berkumpulan kerana tidak lagi mampu membeli seekor haiwan secara bersendirian seperti sebelum ini.

AL-Maashy yang terletak di pinggir Giza di barat daya ibu kota Kaherah, antara pasar ternakan terbesar di Mesir. Walaupun sibuk dengan peniaga ternakan, pasar itu menyaksikan kejatuhan mendadak pembeli dan jualan keseluruhan berbanding tahun lalu.

Dikatakan lebih ramai pembeli memilih haiwan lebih kecil seperti kambing atau biri-biri, berbanding haiwan besar seperti lembu, kerana harga sekilogram daging lembu dengan tulang meningkat lebih dua kali ganda kepada 145 pound (AS$4.7 atau RM21.98) berbanding tahun lalu, 70 pound (RM10.64).

Menurut Naib Presiden Cawangan Dewan Perdagangan Daging Kaherah, Haitham Abdel Basset, berkata jualan haiwan korban merosot sebanyak 80 peratus berbanding setahun sebelumnya.

Basset mengaitkan kenaikan harga haiwan, terutama lembu, yang harga puratanya anggaran antara 50,000 (RM7,598) hingga 80,000 pound (RM12,156) dengan peningkatan kos bahan utama makanan haiwan iaitu bijirin gandum dan jagung yang sebahagian besarnya diimport dari Rusia dan Ukraine.

Sehubungan itu, Basset menggesa kerajaan mencari penyelesaian untuk mengatasi perniagaan suram dalam pasaran ternakan. – AGENSI

Loading...
Terkini