
BAITULMAQDIS: Israel meneruskan tindakan mengehadkan umat Islam dari Tebing Barat untuk memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa pada hari Jumaat sepanjang Ramadan dengan hanya membenarkan mereka yang berusia lebih 50 tahun dan anak masing-masing beribadat di situ.
Menurut pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, bilangan terhad jemaah Muslim akan dibenarkan masuk mengikut ketetapan tahun lalu bermula Jumaat ini, tanpa menyatakan jumlah sebenar.
“Mereka yang dibenarkan adalah lelaki berumur 55 tahun ke atas, wanita berumur 50 tahun ke atas, serta kanak-kanak berusia sehingga 12 tahun. Semua jemaah juga perlu melepasi pemeriksaan keselamatan.
“Kami menegaskan bahawa tiada sekatan terhadap penduduk Arab Israel,” katanya.
Masjid Al-Aqsa terletak di tengah Kota Lama Baitulmaqdis, di atas kawasan yang dikenali oleh penganut Yahudi sebagai Har ha-Bayit atau Temple Mount.
Umat Islam pula memanggil kawasan itu sebagai al-Haram al-Sharif atau Al-Haram Al-Syarif.
Umat Islam menganggap kawasan itu sebagai tempat ketiga paling suci dalam Islam selepas Makkah dan Madinah.
Nama Al-Aqsa merujuk kepada keseluruhan perkarangan terbabit yang menempatkan dua tempat suci utama umat Islam iaitu Kubah Batu dan Masjid Al-Aqsa, juga dikenali sebagai Masjid Qibli yang dibina pada abad ke-lapan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.