FLORIDA: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata rakyat Palestin tiada hak untuk kembali ke Semenanjung Gaza di bawah perancangannya bagi merampas dan membangunkan semula wilayah itu, yang digambarkannya sebagai “pembangunan hartanah untuk masa depan.”
Ia bertentangan dengan kenyataan pegawainya yang sebelum ini mencadangkan bahawa penduduk Gaza hanya akan dipindahkan sementara.
Dalam temu bual bersama Fox News Channel, Trump memberitahu Bret Baier yang “saya akan memilikinya” dan membayangkan sehingga enam penempatan baharu bagi rakyat Palestin di luar Gaza.
Baier: “Adakah rakyat Palestin mempunyai hak untuk kembali?”
Trump: “Tidak, mereka tidak akan (kembali), kerana mereka akan mendapat tempat tinggal yang jauh lebih baik. Dengan kata lain, saya bercakap mengenai membina tempat kekal untuk mereka kerana jika mereka terpaksa kembali sekarang, ia akan mengambil masa bertahun-tahun sebelum Gaza boleh didiami semula.”
![](https://media.buletintv3.my/2025/02/TRUMP.jpg)
Trump turut berkata beliau percaya boleh mencapai perjanjian dengan Jordan dan Mesir untuk menerima rakyat Palestin yang dipindahkan sambil menyatakan bahawa Amerika Syarikat memberi kedua-dua negara itu “berbilion-bilion dolar setiap tahun.”
Dalam pengumuman ‘mengejutkan’ pada 4 Februari selepas bertemu Benjamin Netanyahu di Washington, Trump mencadangkan penempatan semula 2.2 juta penduduk Palestin di Gaza dan Amerika Syarikat merampas wilayah itu serta membangunkannya semula menjadi “Riviera Timur Tengah.”
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.