NEW YORK: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa rakyat Palestin di Gaza kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan, sementara keupayaan PBB memenuhi mandatnya terus merosot, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Dalam satu hantaran di platform X, agensi itu berkongsi kisah Jamila, seorang wanita warga emas Palestin yang kehilangan tempat tinggal dan kini tidak mendapat akses kepada ubat-ubatan setelah bekalan kehabisan akibat sekatan Israel terhadap operasi UNRWA di wilayah itu.
“Saya terpaksa berjalan jauh hanya untuk sampai ke klinik di Khan Younis bagi mendapatkan ubat. Saya menghidap penyakit kronik, tetapi malangnya tiada ubat yang tersedia,” UNRWA memetik kata-kata Jamila, 80 tahun.
“Dahulu, saya bergantung sepenuhnya pada UNRWA untuk penjagaan kesihatan dan pendidikan, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk anak dan cucu-cucu saya.
“Kini, saya berdepan realiti yang menakutkan. Siapa akan membantu kami jika UNRWA tiada?”
Dalam hantaran yang sama, agensi itu turut menegaskan, “Di Gaza yang dilanda peperangan, rakyat awam seperti Jamila kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan, sementara keupayaan PBB melaksanakan mandatnya semakin terjejas.”
UNRWA mengulangi desakan untuk gencatan senjata segera, dengan menekankan bahawa Israel masih mengawal kemasukan bantuan ke Gaza, memburukkan lagi krisis kemanusiaan terutama di bahagian utara wilayah itu.
Israel juga didakwa enggan bekerjasama dengan organisasi antarabangsa dan PBB untuk membenarkan penghantaran makanan, ubat-ubatan serta keperluan asas lain.-BERNAMA-WAFA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.