MESIR: Ribuan rakyat Mesir berkumpul di sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza untuk membantah cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang meminta Mesir dan Jordan menerima penduduk yang terpaksa berpindah dari Gaza.
Rakyat Mesir menyuarakan bantahan keras mereka terhadap sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin dan menekankan solidariti mereka dengan Gaza.
“Kami tidak bersetuju kepada sebarang pemindahan dari Palestin atau Gaza dengan mengorbankan Mesir, di tanah Sinai dan seperti yang anda lihat, seluruh rakyat Mesir hadir, parti-parti (politik), syeikh, dan puak,” kata Gazy Saeed, seorang penduduk Sinai.
Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi, berkata pada Rabu lalu bahawa Mesir tidak akan terbabit dalam pemindahan rakyat Palestin yang akan menjadi “tindakan tidak adil,” selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyatakan bahawa Mesir dan Jordan harus menerima penduduk di Gaza.
Kesatuan Eropah (EU) telah memulakan semula misi sivilnya untuk memantau pintu sempadan antara Gaza dan Mesir di Rafah yang merupakan pintu masuk dan keluar utama bagi Palestin, kata ketua dasar luar EU, Kaja Kallas, pada Jumaat.
Kementerian Kesihatan Gaza yang dikawal oleh Hamas menyatakan bahawa rakyat Palestin pertama, iaitu orang awam yang cedera dan Pejuang Palestin akan memasuki Mesir hari ini melalui pintu sempadan Rafah yang telah ditutup kepada lalu lintas sejak Mei lalu.
Pegawai menyatakan bahawa buat masa ini, orang hanya dibenarkan melakukan perjalanan dalam satu arah iaitu dari Gaza ke Mesir. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.