comscore
Tumpuan :
Dunia

Rakyat Malaysia antara mangsa terhidu gas beracun di Singapura meninggal dunia

Loji Rawatan Air Choa Chu Kang. – FOTO: Agensi

SINGAPURA: Seorang pekerja subkontraktor warga Malaysia berusia 24 tahun yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Besar Ng Teng Fong menjadi korban kedua dalam insiden terhidu gas beracun di loji Rawatan Air Choa Chu Kang (CCKWW) di sini, minggu lalu.

Jurucakap Agensi Air Nasional Singapura (PUB) berkata, lelaki itu yang bekerja untuk kontraktor PUB Stargroup Est. meninggal dunia akibat kecederaannya kira-kira 10 malam pada Selasa semasa dirawat di ICU.

Sementara itu, seorang warga Malaysia berusia 39 tahun yang turut terbabit dalam kejadian itu telah dipindahkan dari ICU pada Selasa dan berada dalam keadaan stabil.

Dalam kejadian pada 23 Mei, tiga pekerja subkontraktor asing ditemui tidak sedarkan diri akibat terhidu gas hidrogen sulfida semasa melakukan pembersihan tangki rutin di loji CCKWW.

Seorang pekerja disahkan meninggal dunia di hospital pada hari yang sama, manakala dua lagi dirawat di ICU hospital berkenaan.

“PUB ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan orang tersayang pekerja terbabit.

“Bersama-sama dengan kontraktor kami, kami melakukan segala yang mungkin untuk menyokong keluarganya dalam tempoh sukar ini,” kata jurucakap itu dalam kenyataan, hari ini.

PUB berkata, pihaknya bekerjasama sepenuhnya dengan siasatan Kementerian Tenaga Manusia dan sedang menjalankan siasatan keselamatan sendiri berikutan insiden terbabit.

CCKWW, yang terletak di bahagian barat Singapura, adalah loji rawatan air kedua terbesar di negara ini dan mempunyai kapasiti rawatan sebanyak 80 juta gelen sehari. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini