Tumpuan :
Dunia

Rakyat Indonesia sekali lagi mengundi, pilih Gabenor pada 27 November

FOTO: Reuters

JAKARTA: Rakyat Indonesia akan keluar mengundi sekali lagi pada 27 November, kali ini untuk memilih pemimpin tempatan, termasuk jawatan Gabenor Jakarta, lapor The Straits Times.

Dengan tiga calon yang bersaing untuk jawatan itu, dua daripadanya muncul sebagai pesaing utama.

Pertarungan menjadi sangat sengit kerana jawatan ini dilihat sebagai batu loncatan ke jawatan presiden, dengan pemenang biasanya mendapat perhatian media nasional dan pendedahan tinggi kepada elit politik utama.

Bekas Presiden, Joko Widodo adalah antara ahli politik terkenal yang pernah berkhidmat sebagai Gabenor Jakarta, di mana jumlah pengundi semasa adalah kira-kira 8.3 juta orang.

Menurut tinjauan pendapat terkini pada akhir Oktober oleh akhbar Indonesia, Kompas, dua calon paling popular adalah pemimpin yang dipilih dua kali, Ridwan Kamil, 53, dan bekas menteri Pramono Anung, 61.

Kedua-dua ahli politik berpengalaman ini mendahului tinjauan – Ridwan dengan 38.3 peratus manakala Pramono (34.6 peratus).

Dalam wawancara berasingan bersama The Straits Times, mereka memberitahu mempunyai rancangan untuk meningkatkan pelaburan asing bagi merangsang ekonomi Jakarta serta berharap untuk menangani masalah berterusan seperti kesesakan lalu lintas dan banjir.

Calon ketiga, bekas jeneral polis yang telah bersara, Dharma Pongrekun, 58 tahun, jauh ketinggalan di belakang dua calon itu, dengan sokongan 3.3 peratus.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk wawancara.

Baki 23.8 peratus daripada 1,200 responden tinjauan berkata, mereka belum membuat keputusan.

Bekas Gabenor Jawa Barat, Ridwan, adalah kader dari Golkar, parti politik tertua di Indonesia yang pernah disertai oleh bekas Presiden, Suharto.

Ridwan adalah calon gabenor pilihan gabungan kerajaan 13 parti yang termasuk parti Gerindra pimpinan Presiden, Prabowo Subianto.

Pramono, bekas Setiausaha Kabinet dalam pentadbiran lalu di bawah Widodo, disokong oleh parti pembangkang Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen nasional.

Pramono adalah ahli PDI-P, manakala Dharma pula adalah calon bebas yang tidak berparti.

Walaupun Jakarta kehilangan statusnya sebagai ibu kota negara kepulauan terbesar di dunia, metropolis ini masih akan mengekalkan peranannya sebagai pusat ekonomi Indonesia.

Ibu kota baharu Nusantara telah secara rasmi dinamakan sebagai pusat pemerintahan, namun masih dalam pembinaan.
Ini adalah kali pertama pilihan raya tempatan diadakan serentak di seluruh 37 wilayah dan lebih daripada 500 daerah dan bandar di Indonesia.

Pemilihan pada 27 November ini akan memilih 37 gabenor untuk wilayah-wilayah, termasuk Jakarta yang ditetapkan sebagai wilayah, untuk tempoh lima tahun.

Hanya Jogjakarta – wilayah ke-38 di Indonesia – tidak akan mengadakan undian, kerana ia dipimpin oleh sultan.

Sebanyak 415 daerah, yang menjadi daerah dikelompokkan di bawah wilayah, masing-masing akan memilih seorang pegawai daerah.

Setiap 93 bandar utama negara ini akan memilih seorang datuk bandar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini