BANGKOK: Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn, perkenan mengesahkan Kabinet baharu Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra.
Menurut Warta Diraja, 12 muka baharu dalam barisan 36 menteri telah dipilih.
Parti Pheu Thai pimpinan Paetongtarn, yang sebelum ini mengetuai beberapa kerajaan sejak 2001, mendominasi Kabinet baharu dan mengekalkan Menteri Kewangan semasa Pichai Chunhavajira dan Menteri Luar, Maris Sangiampongsa.
Timbalan Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai, mengambil alih portfolio pertahanan dan digantikan sebagai Menteri Perdagangan oleh penasihat tertinggi Pheu Thai dan bekas Menteri Tenaga, Pichai Naripthaphan.
Pheu Thai mempunyai 17 jawatan kabinet, termasuk menteri dan timbalan menteri, dengan baki 19 jawatan dibahagikan kepada rakan gabungannya.
Paetongtarn, 38 tahun, dipilih oleh Parlimen bulan lalu untuk menjadi perdana menteri termuda Thailand dan wanita kedua dalam jawatan itu, selepas penyingkiran mengejut Srettha Thavisin oleh mahkamah, atas dakwaan melanggar etika dalam pelantikan Kabinet.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.