LONDON: Raja Britain, Raja Charles III menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih setulus hati kepada mereka yang simpati dan memberikan sokongan terhadapnya sejak disahkan menghidap kanser.
Kenyataan pertamanya sejak disahkan menghidap penyakit itu, dikongsi di laman web raja dan halaman rasmi keluarga diraja di platform media sosial X.
Raja berusia 75 tahun itu turut menyatakan bagaimana diagnosisnya yang dikongsi bersama dapat membantu menggalakkan pemahaman mengenai kanser, selain menyerlahkan tugas semua organisasi yang menyokong pesakit kanser dan keluarga mereka di seluruh United Kingdom (UK) dan dunia dengan lebih luas.
Raja Charles kagum di atas penjagaan dan dedikasi mereka yang tidak pernah mengenal erti lelah, hasil daripada pengalaman peribadinya sendiri
“Saya ingin mengucapkan terima kasih setulus hati atas mesej sokongan dan ucapan selamat yang banyak saya terima sejak beberapa hari ini.
“Seperti semua orang yang terjejas oleh kanser akan tahu, pemikiran yang baik adalah keselesaan dan dorongan terbesar.” katanya menerusi kenyataan itu.
Sebelum ini, Istana Buckingham mengumumkan Raja Charles telah disahkan menghidap kanser dan memulakan rawatan serta berehat daripada tugas awam.
Diagnosis itu disahkan, hanya 17 bulan selepas pemerintahan Raja Charles berikutan kematian ibunya yang berusia 96 tahun, Ratu Elizabeth II, pada 8 September 2022.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.