Tumpuan :
Dunia

Raja Charles III rasmi ditabalkan sebagai Raja Britain

Raja Charles III memakai Mahkota St Edward, manakala Ratu Camilla memakai Mahkota Ratu Mary ketika upacara pertabalan mereka di dalam Biara Westminster di London hari ini. Charles menjadi raja ke-40 yang ditabalkan sejak Raja William I pada 1066. – FOTO: Reuters

LONDON: Raja Charles III secara rasminya ditabalkan sebagai raja Britain, menggantikan mendiang ibunya, Ratu Elizabeth II dalam istiadat pertabalan pemerintah lelaki pertama sejak 1953.

Archbishop of Canterbury, Justin Welby memakaikan mahkota St Edward di kepala Charles sebagai simbol kesucian dan kewibawaan raja kuno pada jam 12.02 tengah hari (waktu Britain).

Serentak itu, ‘Daulat Tuanku’ dilaungkan 2,300 ahli jemaah di Westminster Abbey, diiringi instrumen trompet ketika kemuncak istiadat pertabalan itu.

Istiadat diteruskan dengan tembakan senapang serta deruman loceng.

Charles, 74, akan memakai mahkota St Edward hanya sekali semasa pemerintahan baginda, manakala Raja Permaisuri, Camilla, 75, dinobatkan sebagai ratu dalam upacara lebih ringkas selepas itu.

Istiadat yang disertai kira-kira 100 ketua negara dan orang kenamaan, menyaksikan Charles ditabalkan di Westminster Abbey, yang menjadi lokasi bagi semua pertabalan sejak William the Conqueror pada 1066.

Menurut Perintah Perkhidmatan, istiadat pertabalan sejak berabad lalu, diubah suai dengan keperluan semasa, yang mana upacara Charles buat pertama kalinya merangkumi perarakan pemimpin agama dan pembabitan pelbagai pihak yang mencerminkan kepelbagaian United Kingdom serta penduduknya, iaitu berbeza dengan 70 tahun lalu.

Sebagai Raja, Charles yang juga adalah gabenor tertinggi Gereja England dengan gelaran ‘Pelindung Kepercayaan’, sebelum ini, mempertahankan kedudukan baginda yang ingin menjadi pembela semua agama.

Baginda sering bertitah berhubung komitmennya terhadap pelbagai agama antaranya Kristian, Yahudi, Islam, Buddha dan Sikh.

Menurut Perintah Perkhidmatan, Raja akan berdoa buat kali pertama pada istiadat pertabalan secara terbuka bagi memohon rahmat dan berkat kepada semua daripada setiap kepercayaan.

Terdahulu, polis menahan puluhan penunjuk perasaan sejurus sebelum baginda dan permaisuri berangkat meninggalkan Istana Buckingham untuk menghadiri istiadat pertabalan berkenaan.

Malah, puluhan aktivis republik memegang sepanduk dengan slogan ‘Bukan Rajaku’ di laluan perarakan.

Sementara itu, gerakan antimonarki Republik yang menggesa ketua negara dipilih, berkata enam penganjurnya ditahan, manakala aktivis iklim Just Stop Oil berkata 19 daripada anggotanya ditangkap. – AFP

Loading...
Terkini