comscore
Tumpuan :
Dunia

Raja Charles III keluar hospital, selesai pembedahan prostat

Foto: Reuters

LONDON: Raja Britain, Raja Charles III dan menantunya, Kate Middleton dibenarkan keluar dari hospital pada Isnin selepas menjalani rawatan.

Raja Charles III, 75, yang berada tiga malam di hospital selepas menjalani ‘prosedur pembetulan’ pembesaran prostat, dilihat tersenyum dan melambai kepada rakyat ketika meninggalkan pusat perubatan ditemani isterinya, Ratu Camilla.

Beberapa jam sebelum itu, Kate juga pulang ke rumah selepas menghabiskan dua minggu di hospital swasta sama selepas pembedahan perut.

Dalam satu kenyataan, Istana Buckingham berkata, Raja Charles III berterima kasih kepada pasukan perubatannya dan kepada semua pengunjung yang menziarahi baginda di hospital sepanjang tempoh rawatan.

Sementara itu, Kate, 42, yang juga isteri pewaris takhta Britain, Putera William juga menunjukkan perkembangan yang baik, kata pejabat Istana Kensingtonnya.

Kate dilaporkan sudah kembali ke kediamannya di Windsor.

Keluarga diraja Britain biasanya menganggap semua isu perubatan sebagai urusan peribadi, namun, Raja Charles III memilih untuk menghebahkan keadaannya untuk menggalakkan lelaki lain menjalani pemeriksaan kesihatan.

Perkhidmatan Kesihatan Negara yang dikendalikan kerajaan berkata, terdapat peningkatan 1,000 peratus pengunjung ke laman webnya yang memberi nasihat mengenai pembesaran prostat sejak diagnosis Raja Charles III didedahkan.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini