ASIA BARAT: Qatar mengancam sekiranya serangan ke atas Gaza tidak dihentikan, mereka akan bertindak menggantung aktiviti eksport gas ke seluruh dunia.
Turut senada dalam konflik yang menindas rakyat Palestin, negara Liga Arab.
Semalam menteri-menteri luar Arab mengecam kepungan yang dilaksanakan Israel ke atas Gaza dan menggesa bantuan kepada orang awam seperti makanan, air dan minyak untuk dibawa masuk dengan segera.
Persidangan negara Liga Arab di Kaherah menyaksikan menteri-menteri ini membincangkan tentang perang Israel-Palestin dan menggesa Israel untuk menarik balik arahan kepungan di Gaza.
Mereka dalam pada itu turut menggesa Israel untuk mempertimbangkan tindakannya yang tidak adil apabila menghentikan bekalan elektrik dan air ke Gaza.
Gaza merupakan salah satu lokasi yang paling padat di dunia, dengan 2.3 juta penduduk tinggal dalam kawasan seluas hanya 362 kilometer persegi.
Ia telah berada di bawah jajahan Israel sejak 2007 lagi sebaik Hamas mengambil alih wilayah itu daripada gerakan sekular Fatah dipimpin Presiden Mahmoud Abbas.
Satu-satunya pintu masuk yang tidak dikawal Israel adalah di Rafah, sempadan Mesir.
Namun Rafah sudah dibom sebanyak tiga kali hanya dalam minggu ini sahaja.