comscore
Tumpuan :
Dunia

Qatar akan teruskan usaha bantu Palestin capai gencatan senjata kekal

Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani. FOTO: Reuters

DOHA: Qatar akan meneruskan usahanya dengan negara lain untuk menyambung semula jeda kemanusiaan di Semenanjung Gaza bagi mencapai gencatan senjata kekal.

Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani berkata, apa yang dilakukan pihaknya setakat ini belum memadai.

“Qatar sedaya upaya melakukan apa yang termampu untuk terbabit dalam proses pengantaraan bagi menghentikan tindak balas perang itu,” katanya ketika berucap pada mesyuarat Majlis Menteri Persediaan ke-158 sesi ke-44 Majlis Tertinggi Majlis Kerjasama Tertinggi (GCC) di sini.

Memetik laporan agensi berita Anadolu, Sheikh Mohammed Abdulrahman mengulangi pendirian Qatar yang mengecam jenayah yang dilakukan Israel termasuk gesaan untuk menjalankan siasatan antarabangsa secepat mungkin.

Qatar juga menuntut siasatan dilakukan secara komprehensif dan tidak berat sebelah terhadap jenayah itu, khususnya yang menyasarkan orang awam, bantuan dan kemudahan kemanusiaan.

Ketika sesi itu berlangsung, beliau berkata, mesyuarat turut menyelar pencerobohan Israel sebagai biadab dan melakukan jenayah kejam menerusi pendudukan rejim Zionis ke atas orang awam Palestin di Semenanjung Gaza.

Tentera Israel meneruskan pengeboman di Semenanjung Gaza Jumaat lalu, selepas mengisytihar penamatan jeda gencatan senjata selama seminggu.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya sebanyak 509 rakyat Palestin terbunuh dan 1,316 cedera dalam serangan udara Israel Jumaat lalu.

Angka kematian akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 15,523 orang sejak bermulanya konflik pada 7 Oktober lalu.

Ahad lalu, Kementerian Kesihatan Palestin mendedahkan jumlah keseluruhannya yang cedera meningkat kepada 41,316 orang. – BERNAMA/AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini