comscore
Tumpuan :
Dunia

Puteri Wales hadiri acara umum pertama sejak disahkan hidapi kanser

FOTO: @RoyalFamily / X

LONDON: Puteri Wales, Kate Middleton menyertai ahli keluarganya di acara perarakan tahunan tentera, Trooping the Colour pada Sabtu.

Ia adalah penampilan umum pertamanya tahun ini selepas beliau mengelak beberapa acara susulan pembedahan perut pada 16 Januari lalu.

Kate, 42, dilihat bersama suaminya, Putera William dan tiga anak mereka iaitu Putera George, Puteri Charlotte dan Putera Louis bersama anggota kerabat Diraja yang lain.

Mereka berhimpun di anjung Istana Buckingham untuk menyaksikan perbarisan Tentera Udara Diraja sempena ulang tahun rasmi Raja Charles III. Bagaimanapun, hari jadi sebenar baginda adalah pada November.

Kate dimasukkan ke hospital susulan pembedahan perut, namun ketika itu, keadaannya dianggap tidak berkaitan dengan kanser.

Bagaimanapun, susulan pembedahan, Kate mendedahkan beliau menghidapi sejenis kanser menerusi satu video yang disiarkan pada Mac lalu.

Tiada tempoh masa ditetapkan untuk Kate kembali melaksanakan tugasnya kerana beliau diberikan masa untuk pulih dan berehat dari menjalankan tugas.

Ini adalah penampilan Kate selepas hampir tiga bulan puteri itu mendedahkan beliau menerima rawatan kemoterapi, malah tidak pernah dilihat di khalayak umum sejak Krismas tahun lalu.

Dalam satu kenyataan pada petang Jumaat, Kate berkata beliau ‘mencapai kemajuan yang baik’ dengan rawatannya, yang ditetapkan untuk bertahan selama beberapa bulan lagi, tetapi ‘belum pulih sepenuhnya’.

“Saya tidak sabar-sabar untuk menghadiri Perarakan Ulang Tahun Raja hujung minggu ini bersama keluarga saya dan berharap dapat menyertai beberapa acara awam pada musim panas,” tambahnya.

Kate menjelaskan dalam kenyataannya bahawa ‘ada hari yang baik, ada hari yang buruk’ dan beliau ‘mengharungi cabaran yang dibawa setiap hari apabila ia datang’.

Trooping the Colour ialah persembahan tentera membabitkan 1,400 pegawai dan askar, bersama dengan 400 pemuzik serta 200 ekor kuda.

Mereka berarak melalui jalan-jalan London dari Istana Buckingham ke Horse Guard’s Parade, sementara orang ramai berbaris di sepanjang laluan berkenaan.

Ia adalah salah satu acara utama dalam kalendar Diraja dan menjadi tradisi ulang tahun rasmi kedaulatan British selama lebih 260 tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini