Tumpuan :
Dunia

Putera Harry, Meghan Sertai William dan Kate Berjalan Di Istana Windsor ketika Raja Charles III Menyambut Tetamu Kenamaan

Foto: Reuters

LONDON, United Kingdom: Putera Harry dan isterinya Meghan Markle menyertai Putera William dan isterinya Kate Middleton berjalan-jalan berhampiran Istana Windsor semalam, berikutan kemangkatan nenda mereka, Ratu Elizabeth II.

Kedua-dua anak lelaki Raja Charles III, yang pernah begitu rapat selepas kematian ibu mereka Puteri Diana dalam kemalangan kereta di Paris pada 1997, telah berselisih faham dalam beberapa tahun kebelakangan ini selepas Harry dan Meghan melepaskan gelaran diraja mereka untuk berpindah ke Amerika Syarikat.

Pasangan itu berada di Britain dalam lawatan singkat apabila Ratu Elizabeth II, yang paling lama memerintah Britain, meninggal dunia pada Khamis lalu.

Seperti ahli kanan keluarga diraja yang lain, Harry bergegas untuk berada di sisi ratu ketika dia semakin teruk di Istana Balmoral, Scotland.

Jurucakap pewaris takhta berkata, William telah mengundang jemputan untuk berjalan-jalan di Windsor.

Sumber diraja menyifatkan, ia sebagai persefahaman yang penting pada masa sukar untuk keluarga diraja itu.

Mereka keluar dari kereta yang sama, semuanya berpakaian hitam.

Kedua-dua pasangan itu tidak banyak berinteraksi semasa berjalan kaki selama 40 minit berhampiran salah satu kediaman kegemaran ratu, ketika mereka berhenti untuk membaca mesej yang ditinggalkan pada bunga dan berjabat tangan serta berbual dengan ribuan orang yang berbaris di Long Walk.

Juga semalam, ahli kanan Keluarga Diraja termasuk anak-anak Ratu Elizabeth II, Puteri Anne, Putera Andrew dan Putera Edward menyambut ucapan selamat dan membaca nota pada bunga yang diletakkan di Istana Balmoral sebagai tanda penghormatan kepada kemangkatan ratu.

Pengebumian negara untuk Ratu Elizabeth II akan diadakan pada hari Isnin, 19 September, kata pegawai diraja.

Raja Charles III secara rasmi diisytiharkan sebagai raja baharu Britain semalam, dalam upacara penuh protokol di istana St. James.

Raja Charles III juga menjadi tuan rumah kepada tetamu pertamanya, ahli politik kanan dan ahli paderi termasuk paderi Agung Canterbury, Justin Welby.

Perdana Menteri Liz Truss, yang baru beberapa hari memegang jawatan sebagai ketua kerajaan, dilihat memperkenalkan raja baharu itu kepada Ahli Parlimen.

Kanada juga mengisytiharkan Raja Charles III sebagai rajanya pada hari Sabtu dalam upacara rasmi di kediaman rasmi gabenor jeneral di Ottawa, wakil raja di Kanada yang menjalankan tugas ketua negara bagi pihak raja.

Perdana Menteri Justin Trudeau dan Gabenor Jeneral Mary Simon menandatangani perintah dalam majlis pengisytiharan kerajaan baharu selepas mesyuarat Kabinet.

Loading...
Terkini