comscore
Tumpuan :
Dunia

Putera Harry hilang rumah diraja pemberian mendiang Ratu Elizabeth II

FOTO: Agensi

LONDON: Putera Harry dan isteri, Meghan dilaporkan diusir dari rumah mereka di Windsor, milik keluarga diraja Britain.

Frogmore Cottage,

yang diubah suai dengan kos dilaporkan berjumlah 2.4 juta pound (RM12.94 juta) adalah hadiah perkahwinan daripada mendiang Ratu Elizabeth II pada 2018.

The Sun dan Daily Telegraph melaporkan, hartanah itu kini ditawarkan kepada adik Raja Charles III, Putera Andrew.

Harry dan Meghan, yang dikenali sebagai Duke dan Duchess of Sussex, dilapor dimaklumkan untuk mengosongkan hartanah itu pada Januari, hanya beberapa hari selepas penerbitan buku memoirnya, ‘Spare’.

Charles, yang sudah lama cenderung untuk mengecilkan saiz monarki yang bertugas secara rasmi, kini sedang melakukan rombakan pembiayaan.

Geran bagi Putera Andrew berjumlah 250,000 pound (RM1.3 juta) yang kemungkinan dimansuh akan menyebabkan baginda terpaksa keluar dari kediamannya ketika ini, Royal Lodge 30 bilik, juga terletak di Windsor, kerana kos penyelenggaraannya yang tinggi.

Harry dan Meghan berpindah ke California pada 2020 selepas meninggalkan kehidupan diraja secara dramatik.

Sejak itu, mereka mengambil bahagian dalam beberapa projek, daripada temu bual dengan Oprah Winfrey kepada dokumentari Netflix, yang menyiarkan rungutan mengenai pengalaman mereka sebagai ahli keluarga diraja Britain.

Autobiografi Harry, ‘Spare’ memecahkan rekod jualan apabila diterbitkan pada Januari, namun turut menyaksikan penarafan popularitinya merosot.

Andrew dipaksa keluar daripada kehidupan umum kerana persahabatannya dengan pesalah seks yang disabitkan, Jeffrey Epstein.

Tahun lalu, Andrew menyelesaikan satu kes sivil Amerika Syarikat (AS) berkaitan serangan seksual dengan individu yang menuduh, Virginia Giuffre.

Istana Buckingham enggan mengulas mengenai laporan itu.

Wakil bagi pasangan berkenaan juga tiada untuk memberi maklum balas. – AFP

Loading...
Terkini