ISTANBUL: Setelah tiada pemenang mutlak yang mencapai majoriti undi pada pilihan raya presiden 14 Mei lalu, Turkiye sekali lagi bakal berdepan proses menentukan masa depan negara itu apabila pusingan kedua pilihan raya presiden bakal diadakan esok.
Pusingan kedua terbabit bakal menyaksikan Presiden Recep Tayyip Erdogan ditentang ketua pembangkang, Kemal Kilicdaroglu dalam pertembungan satu lawan satu.
Sehubungan itu, kedua-dua calon kini giat berkempen di saat akhir dalam usaha meluaskan pengaruh demi meneruskan kesinambungan momentum diraih pada pusingan pertama lalu.
Erdogan yang memperoleh 49.5% pada pusingan pertama lalu dilihat berusaha meraih sokongan padu penyokongnya dengan memfokuskan kempen pada manfaat kerajaan perpaduan yang bakal diterajui beliau jika terpilih sekali lagi menerima mandat rakyat.
Sementara Kilicdaroglu pula cuba menjadikan faktor ekonomi semasa dengan kejatuhan nilai mata wang Lira sebagai senjata kempennya dengan membentangkan pelbagai manifesto memulihkan ekonomi Turkiye selain memancing undi rakyat dengan menyalahkan Erdogan sebagai dalang utama kemerosotan kewangan negara berkenaan.
Dalam pada itu, data semasa yang dikeluarkan pemerhati politik di Turkiye menjangkakan peningkatan dalam bilangan pengundi luar negara dari 1.7 juta kepada 1.9 juta orang dalam pusingan kedua kali ini, sekali gus bakal memberi kesan terhadap pola pemilihan presiden negara terbabit. – REUTERS