Tumpuan :
Dunia

Pulau Perancis dibadai taufan dahsyat, empat maut

Ribuan pokok tumbang akibat angin kencang berkelajuan hingga 230 kilometer sejam yang melanda pulau itu. FOTO: Reuters

SAINT-DENIS DE LA REUNION: Sekurang-kurangnya empat maut selepas taufan Garance yang dahsyat melanda Pulau Reunion, Perancis, semalam.

Penduduk tempatan terkejut dengan tahap kemusnahan yang berlaku selepas taufan Garance membadai wilayah dengan kepadatan 900,000 orang penduduk itu kelmarin.

Taufan itu bukan sahaja menumbangkan pokok, bumbung rumah turut tercabut serta banjir melanda kawasan kediaman.

Seluruh jalan raya ditenggelami air dan kenderaan dihanyutkan arus deras.

Amaran tahap merah diaktifkan memaksa penduduk untuk kekal di dalam rumah sebelum arahan itu ditarik semula pada pagi semalam selepas status taufan diturunkan kepada ribut tropika paling teruk.

Semalam, pihak berkuasa melaporkan penemuan mayat seorang lelaki yang terperangkap di bawah pokok di Saint-Denis.

Ulas pihak berkuasa lagi, tiga lagi mangsa, dua wanita dan seorang lelaki maut selepas dipercayai dihanyutkan arus deras, terperangkap dalam tanah runtuh atau akibat kebakaran elektrik.

Kira-kira 120,000 orang penduduk masih terputus bekalan elektrik, manakala lebih 950 orang berlindung di pusat penempatan sementara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini