comscore
Tumpuan :
Dunia

Presiden Prabowo pilih SUV tempatan kenderaan rasmi

Foto: Reuters

JAKARTA: Presiden Indonesia kelapan, Prabowo Subianto memilih kenderaan presiden khas, MV3 Garuda Limousine, buatan syarikat senjata milik republik itu, PT Pindad sebagai kenderaan rasminya.

Prabowo menaiki MV3 Garuda atau Maung Garuda putih selepas upacara angkat sumpah di Kompleks Parlimen Senayan.

Ini adalah kali pertama kenderaan presiden itu diperkenalkan kepada umum, lengkap dengan plat kenderaan bertulis “Indonesia.”

Pengarah urusan PT Pindad, Abraham Mose dalam satu kenyataan menzahirkan rasa bangga dan berbesar hati, apabila jentera terbaharu MV3 Garuda Limousine, hasil kerja anak bangsanya, digunakan dalam detik bersejarah ini.

Beliau turut menyatakan terima kasih kepada Prabowo atas kepercayaan yang terus diberikan kepada PT Pindad.

Foto: Reuters

Sementara itu, pengarah teknologi dan pembangunan PT Pindad, Sigit P. Santosa berkata Prabowo akan menjadi orang pertama yang menggunakan kenderaan buatan dalam negara itu.

Maung Garuda merupakan SUV 4×4 taktikal ringan yang direka untuk menyokong operasi pertempuran jarak dekat dan mengharungi laluan yang sukar.

Berdasarkan laman rasmi Pindad, Maung direka untuk kebolehgerakan yang tangkas dan boleh dipercayai bagi menyokong mobiliti penggunanya dalam pelbagai bidang operasi.

SUV ini mempunyai kelajuan selamat 120 kilometer sejam, transmisi manual enam kelajuan dan jarak perjalanan sehingga 800 km.

Maung boleh dilengkapi dengan pendakap senjata 7.62 mm, konsol senjata SS2 V4, peranti navigasi GPS, penjejak kenderaan dan peralatan lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini