Tumpuan :
Dunia

Presiden Persatuan Bola Sepak Afrika Selatan didakwa salah seleweng dana

Presiden Persatuan Bola Sepak Afrika Selatan (SAFA), Danny Jordaan FOTO: Reuters

JOHANNESBURG: Presiden Persatuan Bola Sepak Afrika Selatan (SAFA), Danny Jordaan, pada Rabu didakwa berhubung penyalahgunaan dana persatuan untuk kepentingan peribadi.


Jordaan, yang terkenal kerana membawa Piala Dunia 2010 ke Afrika Selatan, dilaporkan cuba mendapatkan perintah mahkamah untuk menghentikan penahanannya pada Selasa, tetapi gagal.

Kes ditangguhkan sehingga 5 Disember depan dengan Jordaan dibebaskan dengan jaminan sebanyak 20,000 rand (kira-kira $1,110) dan menafikan sebarang salah laku.

Penahanan itu rentetan daripada serbuan polis di pejabat SAFA pada Mac lalu.

Menurut jurucakap polis, antara 2014 dan 2018, Jordaan didakwa menggunakan dana SAFA untuk membiayai perlindungan keselamatan peribadinya dan perkhidmatan perhubungan awam tanpa kebenaran lembaga pengarah SAFA.

Jordaan, bersama Ketua Pegawai Kewangan SAFA, Gronie Hluyo, dan ahli perniagaan Trevor Neethling, turut hadir di mahkamah Palm Ridge dan dibebaskan dengan jaminan.

Ketiga-tiganya diingatkan untuk tidak berhubung dengan senarai 19 saksi yang berpotensi dipanggil pihak pendakwaan.

Peguam SAFA, Lesedi Mphahlele, menegaskan bahawa tuduhan ini adalah sebahagian daripada ‘kempen fitnah’ yang dirancang oleh bekas ahli SAFA yang tidak berpuas hati untuk menggugat kepimpinan Jordaan di SAFA.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini