Tumpuan :
Dunia

Presiden Korea Selatan hadapi usul undi tidak percaya kali kedua

Seorang penunjuk perasaan yang memakai topeng menggambarkan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol, menyertai perhimpunan mendesak pemecatannya. – FOTO: Reuters

SEOUL: Ahli Parlimen Korea Selatan akan mengundi hari ini, bagi memutuskan sama ada untuk memecat Presiden, Yoon Suk-yeol berikutan usahanya yang gagal melaksanakan undang-undang tentera, satu pertembungan kedua yang kelihatan sengit.

Seminggu selepas cubaan pertama untuk menyingkirkan Suk Yeol berhubung kegagalan undang-undang tentera menemui jalan buntu, Dewan Perhimpunan Negara akan mengadakan undian sekitar jam 4 petang (5 petang waktu tempatan) untuk memutuskan sama ada untuk memecatnya atas tuduhan pemberontakan yang merosakkan peraturan Perlembagaan.

Suk Yeol berikrar untuk melawan hingga detik terakhir dan terus mengulangi dakwaan yang tidak terbukti bahawa pembangkang bersekongkol dengan musuh komunis negara itu.

Ribuan rakyat Korea Selatan turun ke jalanan di Seoul untuk menuntut peletakan jawatan dan penahanan Suk-yeol selepas pengisytiharan undang-undang tentera yang hanya bertahan seketika menyebabkan tentera dan helikopter dihantar ke Parlimen minggu lalu.

Perhimpunan besar-besaran menyokong pemecatan presiden itu dijangka akan berlaku berhampiran Parlimen pada tengah hari ini.

Penganjur (perhimpunan) berjanji untuk mengagihkan makanan dan sepanduk kepada penunjuk perasaan bagi meningkatkan semangat mereka dalam suhu sejuk bulan Disember.

Dua ratus undi diperlukan untuk pemecatan diterima, bermakna ahli parlimen pembangkang perlu meyakinkan lapan wakil rakyat dari Parti Kuasa Rakyat (PPP) pimpinan Suk Yeol untuk beralih sokongan.

Setakat semalam, tujuh ahli parlimen parti pemerintah berikrar untuk menyokong pemecatan – menjadikan undian ini masih tidak pasti.

Pemimpin Parti Demokratik Pembangkang, Lee Jae-myung, merayu ahli parlimen PPP menyokong rakyat yang merintih di jalanan pada musim sejuk ini

“Sila sertai sokongan untuk undian pemecatan esok, sejarah akan mengingati dan merekodkan pilihan anda,” katanya semalam.

Dua ahli parlimen PPP telah menyokong usul ini dalam undian minggu lalu.

Ahli Parlimen pembangkang, Kim Min-seok, berkata pada Jumaat beliau yakin ’99 peratus’ bahawa usul pemecatan akan diterima.

Sekiranya diluluskan, Suk-yeol akan digantung daripada jawatan sementara Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan membuat keputusan.

Perdana Menteri, Han Duck-soo akan mengambil alih sebagai presiden sementara.

Mahkamah akan mempunyai masa 180 hari untuk membuat keputusan mengenai masa depan Suk Yeol.

Jika mahkamah menyokong pemecatannya, Suk Yeol akan menjadi presiden kedua dalam sejarah Korea Selatan yang berjaya dipecat. -AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini