JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) telah menyampaikan arahan untuk memulakan pemindahan penjawat awam ke ibu kota baharu Nusantara (IKN) di Kalimantan Timur pada Januari 2025, menurut Menteri Sistem Negara dan Reformasi Birokrasi, Abdullah Azwar Anas.
“Malam tadi, saya menerima arahan daripada Presiden melalui Pak (Menteri Sekretaris Negara) Pratikno untuk memindahkan penjawat awam ke IKN pada Januari,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa rancangan asal kerajaan adalah untuk memulakan pemindahan penjawat awam ke ibu kota masa depan itu pada September lepas.
“Namun, kami kemudian diarahkan untuk memperbaiki ekosistem terlebih dahulu,” tambah Anas.
Beliau kemudian, menekankan bahawa pihaknya akan segera merangka skim penempatan semula dan insentif untuk penjawat awam yang akan ditempatkan di Nusantara.
Sehubungan itu, Anas memastikan bahawa beliau dan pembantunya akan terus berusaha lebih keras bagi memastikan kejayaan pemindahan berkenaan.
Sementara itu pada Jumaat (4 Oktober), Menteri Perancangan Pembangunan Negara Suharso Monoarfa mengesahkan bahawa pemindahan penjawat awam itu ditangguhkan kerana keperluan untuk membuat persediaan yang lebih baik berhubung kediaman, pejabat, dan rangkaian internet.
Menteri itu turut menekankan kemungkinan kerajaan menangguhkan pemindahan berkenaan ke Oktober atau November.
Walau apa pun rancangan itu, beliau memastikan bahawa Pihak Berkuasa IKN (OIKN) terus berusaha membangunkan kemudahan awam yang mencukupi untuk keselesaan penjawat awam, seperti hospital dan sekolah.
“Sekolah antara lain belum disediakan. Oleh itu, saya fikir belum sesuai untuk anak-anak penjawat awam berpindah ke sana,” katanya. — BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.