BERLIN: Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier pada Jumaat mengumumkan bahawa beliau akan membuat keputusan mengenai pembubaran Parlimen pada 27 Disember, lapor Agensi Anadolu.
Dalam satu kenyataan, Steinmeier menjelaskan bahawa beliau memulakan pertemuan dengan pemimpin kumpulan parlimen selepas Canselor Olaf Scholz hilang sokongan di parlimen awal minggu ini.
“Dalam beberapa hari lalu, saya telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin kumpulan dan fraksi parlimen di Bundestag Jerman untuk memastikan tiada lagi prospek majoriti parlimen yang stabil untuk sebuah kerajaan,” katanya.
Scholz gagal memperoleh sokongan majoriti dalam undi percaya di Parlimen pada Isnin.
Daripada 717 undi yang dikira, 394 ahli Parlimen mengundi menentang Scholz, 207 menyokong manakala 116 lagi berkecuali.
Rakan sekutunya dalam gabungan, Parti Hijau secara strategik berkecuali bagi memastikan kejayaan langkah itu bagi mencetuskan pilihan raya awal.
Dalam ucapan di parlimen pada Isnin, Scholz mempertahankan keputusannya untuk menamatkan gabungan dengan Parti Demokrat Bebas (FDP) liberal, menekankan bahawa pilihan raya awal akan memberi peluang kepada pengundi untuk menentukan hala tuju masa depan negara.
Menurut Perlembagaan, apabila majoriti parlimen menarik balik kepercayaan terhadap canselor, presiden boleh membubarkan parlimen atas permintaan canselor, sekali gus memberi laluan kepada pilihan raya baharu.
Keputusan mengenai tarikh pilihan raya akan dibuat oleh Steinmeier. – BERNAMA-AA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.