Tumpuan :
Dunia

Presiden ICJ letak jawatan, galas jawatan PM Lubnan

FOTO: Reuters

THE HAGUE: Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), hakim Nawaf Salam meletak jawatan susulan pelantikannya sebagai Perdana Menteri Lubnan.

Perkara berkenaan diumumkan institusi perundangan yang berpangkalan di The Hague itu.

Salam yang memegang jawatan sebagai Presiden ICJ pada 2024, secara rasmi meletak jawatan sebagai anggota mahkamah itu berkuat kuasa serta-merta, menurut kenyataan akhbar ICJ.

Tempohnya sebagai hakim dan presiden pada asalnya dijadual berakhir pada 5 Februari 2027.

Selaras Artikel 14 Statut Mahkamah, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menetapkan tarikh pemilihan penggantinya oleh Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan.

Hakim baru yang dipilih akan menjalani baki penggal Salam.

Sebelum menyertai ICJ, Salam pernah berkhidmat sebagai Duta dan Wakil Tetap Lubnan ke PBB di New York dari Julai 2007 hingga Disember 2017.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini