Tumpuan :
Dunia

Presiden, bekas pemimpin AS zahir takziah atas pemergian Jimmy Carter

WASHINGTON: Barisan pemimpin dan bekas pemimpin Amerika Syarikat (AS) menyampaikan ucapan takziah susulan kematian Bekas Presiden AS ke-39 dan penerima Hadiah Nobel Keamanan, Jimmy Carter.

Antaranya Presiden AS, Joe Biden dan isteri, Jill yang menyifatkan negara itu kehilangan seorang pemimpin luar biasa.

Biden menyifatkan Carter sebagai seorang sahabat, lelaki berprinsip dan memiliki sifat rendah diri.

Sementara itu. Presiden AS terpilih Donald Trump melalui media sosialnya menyatakan cabaran dihadapi Carter ketika menjadi presiden adalah tepat pada waktu.

Menurut Trump, Carter melakukan segala yang termampu memperbaiki kehidupan seluruh rakyat AS dan untuk itu penduduk terhutang budi kepadanya.

Katanya, Carter akan dikenang kerana perjuangannya mengatasi masalah ekonomi yang serius dan beberapa cabaran dasar luar, termasuk krisis tebusan Iran.

Selepas meninggalkan White House, beliau menjadi presiden pertama dan satu-satunya yang kembali tinggal sepenuh masa di rumah yang didiaminya sebelum terlibat dalam politik, sebuah rumah berkonsep ladang.

Dalam kenyataan lain, bekas Presiden Bill Clinton dan isteri Hillary Clinton memberitahu, Carter seorang yang rajin dan bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk dunia yang lebih baik dan adil.

Carter turut dipuji atas usaha kemanusiaan, alam sekitar dan diplomatik berterusan beliau.

Tambah Clinton, Carter menghabiskan seluruh hidup untuk menyantuni rakyat sehingga ke akhir hayatnya.

Sementara itu, bekas Presiden Barack Obama memberi penghormatan atas kesopanan Carter.

Ujarnya, Carter mengajar makna hidup dengan penuh rahmat, martabat, keadilan dan berkhidmat.

Bekas Presiden Republikan George W. Bush pula berkata Carter memuliakan jawatan presiden dengan usaha beliau menjadikan dunia tempat lebih baik tidak berakhir dengan jawatan presiden.

Sebuah upacara pengebumian negara akan diadakan di Washington DC.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini