ISTANBUL: Azerbaijan pada Ahad meminta Rusia mengakui kesalahan, menghukum mereka yang bertanggungjawab dan membayar pampasan berikutan nahas pesawat penumpang negara itu di Kazakhstan, lapor Agensi Anadolu (AA).
Bercakap kepada pemberita di Baku, Presiden Ilham Aliyev mengesahkan bahawa pesawat Azerbaijan Airlines (AZAL) yang terhempas berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan rosak teruk akibat tembakan dari darat dan hampir hilang kawalan disebabkan peperangan elektronik.
“Fakta menunjukkan bahawa pesawat awam Azerbaijan telah mengalami kerosakan dari luar ketika berada di wilayah Rusia, berhampiran Grozny dan hampir hilang kawalan.
“Kami juga tahu bahawa pesawat kami menjadi tidak terkawal kerana peperangan elektronik,” katanya.
Pesawat AZAL yang dalam penerbangan dari Baku ke Grozny di Republik Chechen, Rusia terhempas tiga kilometer dari Aktau di pantai Laut Kaspia pada Rabu.
Pihak berkuasa Kazakhstan melaporkan bahawa 38 orang terbunuh dalam nahas pesawat Embraer 190 yang membawa 67 penumpang itu, manakala 29 lagi terselamat.
Siasatan terhadap insiden berkenaan sedang dijalankan di Azerbaijan dan Kazakhstan. – BERNAMA-AA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Nahas pesawat: Putin mohon maaf kepada Presiden Azerbaijan
- Malaysia ucap takziah kepada Azerbaijan susulan nahas pesawat
- Punca awal nahas pesawat terdapat gangguan luaran fizikal, teknikal – Azerbaijan Airlines
- Kotak hitam kedua ditemukan di lokasi nahas pesawat Azerbaijan Airlines
- Nahas pesawat Azerbaijan Airlines ragut 38 nyawa
- Tragedi nahas pesawat: Azerbaijan isytihar hari berkabung negara
- [VIDEO] Pesawat Azerbaijan Airlines terhempas, puluhan penumpang dikhuatiri maut
- Mayat 24 warga Azerbaijan terlibat nahas pesawat di Kazakhstan telah dibawa pulang