comscore
Tumpuan :
Dunia

Prabowo umum Kabinet baharu 21 Oktober

Mesyuarat pertama Kabinet di bawah pentadbiran Probowo akan diadakan pada 23 Oktober. – FOTO: Reuters

JAKARTA: Bakal Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dijangka mengumumkan barisan Kabinet pada 21 Oktober depan, sehari selepas dilantik sebagai Presiden Republik Indonesia untuk tempoh 2024–2029.

Menurut Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan, beliau dimaklumkan oleh Probowo mengenai pengumuman itu ketika kedua-duanya menghadiri pertemuan dengan Presiden Joko Widodo di Istana Presiden, di sini, kelmarin.

“Prabowo akan mengumumkan senarai Kabinet pada 21 Oktober diikuti mesyuarat Kabinet pada 23 Oktober,” kata Pandjaitan semalam seperti dilaporkan portal berita ANTARA.

Beliau optimis Prabowo akan segera melaksanakan tugasnya termasuk menyelesaikan masalah dan cabaran sedang dihadapi seperti pangkalan data ladang kelapa sawit dan audit.

Pandjaitan juga optimis peralihan daripada pentadbiran Presiden Joko Widodo-Naib Presiden Ma’ruf Amin kepada calon Presiden Prabowo Subianto-Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka akan berjalan lancar.

Presiden Widodo secara langsung telah mengarahkan kakitangannya untuk membantu peralihan berjalan lancar, sekali gus memastikan pentadbiran baharu tidak perlu bermula daripada awal.

“Saya fikir kita mesti terus membawa budaya ini supaya pentadbiran seterusnya tidak perlu bermula dari awal,” kata Pandjaitan.

Beliau juga mengakui komunikasi antara menteri di bawah pimpinan Presiden Widodo dan pasukan peralihan Prabowo berjalan dengan cukup baik.

“Semuanya dikongsi. Ia hanya untuk kebaikan negara ini,” katanya.

Subianto dan Raka ditentukan oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia sebagai pasangan calon presiden dan naib presiden terpilih pada 24 April 2024.

Kedua-duanya dijadual dilantik sebagai Presiden dan Naib Presiden Republik Indonesia untuk 2024 hingga 2029 pada 20 Oktober depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini