Tumpuan :
Dunia

Populasi China menyusut buat pertama kali dalam tempoh enam dekad

Foto AFP

BEIJING: Populasi China menyusut buat pertama kali dalam tempoh enam dekad, berdasarkan data rasmi, pada Selasa.

Negara dengan 1.4 bilion penduduk itu dilaporkan menyaksikan kadar kelahiran paling terendah dan penganalisis memberi amaran ia memberi tekanan kepada ekonomi dan dana awam.

Populasi tanah besar China direkodkan pada 1,411,750,000 pada akhir 2022, lapor Biro Statistik Kebangsaan (NBS) di Beijing, pada Selasa.

Ia mencatatkan pengurangan 850,000 berbanding hujung tahun sebelumnya.

Angka kelahiran adalah 9.56 juta, menurut NBS, manakala jumlah kematian adalah 10.41 juta.

Kali terakhir China merekodkan penurunan penduduk adalah pada awal 1960-an, ketika negara itu mengalami masalah kebuluran paling teruk dalam sejarah moden dunia.

Negara itu mengakhiri polisi ketat satu anak – dikuatkuasakan pada 1980-an susulan kebimbangan jumlah penduduk yang berlebihan hingga pada 2016 dan mula membenarkan pasangan mempunyai tiga anak pada 2021.

Tetapi ia tidak mampu mengatasi kemerosotan penduduk untuk negara yang selama ini bergantung kepada jumlah tenaga yang besar untuk memacu pertumbuhan ekonominya.

Banyak faktor termasuk kos sara hidup yang meningkat – termasuk kepada pertambahan jumlah wanita dalam bidang pekerjaan dan yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi – menyumbang kepada kemerosotan jumlah penduduk. – AFP

Loading...
Terkini