SINGAPURA: Politik Singapura tiba-tiba ‘bergoncang’ selepas dua orang ahli parlimen (MP) daripada parti kerajaan tiba-tiba mengumumkan meletak jawatan. Lebih mengejutkan apabila seorang daripada mereka itu adalah Speaker Parlimen.
Khamis lalu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata Menteri Pengangkutan, S. Iswaran akan kekal di republik itu ketika tempoh beliau bercuti. Ia dipercayai susulan pengumuman oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) bahawa Iswaran yang turut memikul tugas sebagai menteri bertanggungjawab ke atas hubungan perdagangan disiasat bagi satu kes yang belum lagi didedahkan.
Speaker Parlimen dan MP bagi Marine Parade GRC, Tan Chuan-Jin, 54 tahun hari ini (17 Julai) mengumumkan meletak jawatan kerana telah menggunakan “bahasa yang tidak sesuai digunakan di parlimen” ketika sidang parlimen pada April dan ekoran ‘perbuatan peribadinya’ yang tidak dijelaskan dengan lebih lanjut oleh beliau.
Pada hari sama hari ini, MP Tampines East dan Tampines GRC sejak tahun 2015, Cheng Li Hui 47 tahun turut mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa serta merta.
Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dalam satu sidang media hari ini berkata dua ahli People Action Party (PAP) menjalin hubungan yang tidak sepatutnya.
Lee juga dipetik sebagai berkata bahawa kedua-dua MP itu masih menjalin hubungan walaupun telah diarahkan berhenti.
Terdahulu, Lee dalam satu kenyataan berkata peletakan itu adalah perlu bagi mengekalkan standard kewajaran dan kelakuan peribadi yang tinggi yang dipertahankan PAP selama ini.
Katanya, Tan telah membuat memohon maaf secara terbuka kepada ahli parlimen terbabit dan ahli parlimen menerima permohonan maafnya.
“Tetapi anda melafazkan ketika anda bertindak sebagai Speaker, menjadikan perkara ini lebih serius,” kata Lee.
Tan telah dikritik pada minggu lalu kerana menggunakan “bahasa yang tidak sesuai digunakan di parlimen” dalam reaksinya terhadap ucapan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Parti Pekerja Jamus Lim.