comscore
Tumpuan :
Dunia

Polis Thailand lancar operasi cari wanita Malaysia hilang

FOTO: Facebook

THAILAND: Polis Thailand melancarkan operasi mencari wanita Malaysia berusia 22 tahun yang kali terakhir dilihat di daerah Mae Sai, wilayah Chiang Rai.

Chong Sum Yee, 22 tahun, berlepas ke Chiang Mai pada 29 Mei dan melakukan perjalanan sejauh 250 kilometer ke daerah utara Mae Sai.

Lokasi berkenaan berdekatan dengan bandar Tachilek di Myanmar, di mana kes perdagangan manusia pernah dilaporkan.

Chong tetap berhubung dengan keluarganya ketika berada di Thailand dan kali terakhir dia dapat dihubungi pada 1 Jun, 10.30 pagi (waktu tempatan).

Komisioner Wilayah Polis Wilayah 5, Pol Lt Gen Piya Tawichai, berkata polis Thailand mempergiat usaha mengesan wanita Malaysia yang hilang itu.

Katanya, polis negara itu telah menghubungi rakan sejawatnya di Myanmar untuk mengesan wanita terbabit.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah hotel, seorang wanita muda yang menyerupai Chong dilihat duduk di lobi hotel.

Seorang wanita lain tiba dan mereka meninggalkan hotel berkenaan dengan motosikal.

Hasil rakaman CCTV itu mendapati tiada bukti paksaan atau kekerasan.

Pada Jumaat, ibu Chong, Chee Choy Wen, menggunakan platform media sosial Facebook bagi menyuarakan kebimbangan selepas gagal menghubungi anak perempuannya.

Laporan polis telah dibuat pada 2 Jun.

Chee berkata bahawa anak perempuannya memberitahu dia berada di Thailand atas urusan kerja.

Namun, majikannya menafikan perkara itu sebaliknya dimaklumkan bahawa Chong ke Thailand atas urusan peribadi.

Chee turut meminta bantuan daripada Kedutaan Malaysia di Thailand.

Loading...
Terkini