SEOUL: Polis Korea Selatan menyerbu Istana Presiden sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap kes pengisytiharan Undang-Undang Tentera oleh Presiden Yoon Suk-yeol pada 3 Disember lalu.
Pada masa sama seorang pegawai kerajaan memberitahu Parlimen, bekas Menteri Pertahanan negara itu cuba membunuh diri semasa dalam tahanan.
Perkembangan dramatik itu berlaku selepas pihak berkuasa menangkap bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun serta ketua-Ketua Agensi Polis Negara dan Polis Metropolitan Seoul atas dakwaan penglibatan mereka dalam dekri Presiden Yoon yang singkat, yang telah menyebabkan ekonomi terbesar keempat di Asia itu terjerumus ke dalam krisis politik terbesar dalam beberapa dekad.
Shin Yong Hae, Ketua Pesuruhjaya Perkhidmatan Korea Selatan memberitahu ahli parlimen semasa sesi pendengaran di parlimen bahawa bekas menteri itu terselamat dan keadaannya stabil.
Kim ditangkap atas tuduhan pemberontakan selepas Mahkamah Daerah Seoul Tengah mengeluarkan waran tangkap atas permintaan pendakwa raya.
Cho Ji-ho, Ketua Pesuruhjaya Agensi Polis Negara Korea dan Kim Bong-sik, Ketua Agensi Polis Metropolitan Seoul, turut ditangkap atas tuduhan pemberontakan.
Perkembangan terkini berlaku ketika Parti Pembangkang Liberal Utama, Parti Demokratik, sedang bersiap sedia untuk membuat percubaan kedua bagi memecat Yoon.
Sekiranya usul pemecatan kedua berjaya, Perdana Menteri Han Duck-soo akan memegang tanggungjawab Presiden buat sementara waktu.
Mahkamah Perlembagaan Korea kemudiannya akan memutuskan sama ada untuk mengesahkan pemecatan Yoon dari jawatan itu atau mengembalikan kuasanya. – AL JAZEERA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.