MUAN: Polis Korea Selatan melakukan serbuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, pejabat Jeju Air dan sebuah badan penerbangan rantau itu dalam siasatan ke atas tragedi nahas udara terburuk dalam sejarah Korea Selatan.
Agensi Polis Wilayah Jeonnam telah melaksanakan “operasi carian dan rampasan” di ketiga-tiga lokasi tersebut pada pagi Khamis, menurut kenyataan rasmi.
Serbuan dilakukan ketika pihak berkuasa penerbangan, termasuk pegawai dari Amerika Syarikat sedang menyiasat punca kemalangan maut pesawat Jeju Air Penerbangan 2216 pada hari Ahad lalu yang mengorbankan 179 daripada 181 orang yang berada di dalam pesawat.
Semalam pihak berkuasa Korea Selatan mengambil data awal daripada salah satu kotak hitam Boeing 737-800 tersebut.
Manakala satu lagi kotak hitam akan dihantar ke Amerika Syarikat untuk dianalisis disebabkan kerosakan yang dialami.
Pegawai Korea Selatan telah melancarkan pemeriksaan ke atas semua pesawat Boeing 737-800 yang sedang beroperasi serta siasatan lebih luas terhadap operasi seluruh syarikat penerbangan di negara itu.
Presiden sementara Korea Selatan, Choi Sang-mok, berkata pada hari Khamis bahawa tindakan segera perlu diambil sekiranya pemeriksaan mendedahkan sebarang masalah dengan model pesawat tersebut.
“Kerana terdapat kebimbangan besar dalam kalangan orang ramai mengenai model pesawat yang sama terlibat dalam kemalangan ini, kementerian pengangkutan dan organisasi berkaitan mesti menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap penyelenggaraan operasi, pendidikan, dan latihan,” kata Choi.
Pakar penerbangan telah mengemukakan beberapa kemungkinan punca dan faktor yang menyumbang kepada bencana tersebut, termasuk pertembungan dengan burung, kegagalan mekanikal, dan kewujudan timbunan tanah keras yang terletak kurang daripada 300 meter dari hujung landasan.
Boeing 737-800 itu mendarat tanpa tayar di landasan tidak lama selepas juruterbang melaporkan perlanggaran burung kepada kawalan trafik udara sebelum melanggar penghadang dan meletup
Kemalangan itu adalah yang terburuk melibatkan syarikat penerbangan Korea Selatan sejak pesawat Boeing 747 Korean Air terhempas ke lereng bukit di Guam pada tahun 1997, yang mengorbankan 228 orang. – AL JAZEERA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.