Tumpuan :
Dunia

Polis India tahan 104 pekerja mogok di Kilang Samsung di Tamil Nadu

CHENNAI: Polis India telah menahan 104 pekerja yang melancarkan mogok susulan kadar gaji rendah di kilang Samsung Electronics di selatan India.

Penahanan dibuat ketika mereka merancang untuk melakukan perarakan tanpa kebenaran polis.

Penahanan ini menandakan peningkatan mogok yang dilakukan oleh pekerja di kilang itu yang terletak berhampiran bandar Chennai, di negeri Tamil Nadu.

Pekerja menuntut kenaikan gaji dan telah memboikot kerja selama tujuh hari, menyebabkan gangguan dalam pengeluaran yang menyumbang kira-kira satu pertiga daripada hasil tahunan Samsung di India sebanyak $12 bilion.

Pegawai Polis Kanan Daerah Kancheepuram, K. Shanmugam dipetik berkata, pekerja merancang untuk memulakan perarakan protes, tetapi mereka telah ditahan kerana tiada kebenaran diberikan memandangkan terdapat sekolah, kolej, dan hospital di kawasan itu.

Media Reuters melaporkan, Samsung tidak bersedia untuk mengiktiraf mana-mana kesatuan yang disokong oleh kumpulan buruh luar.

Samsung juga tidak memberikan komen mengenai permintaan untuk maklum balas, tetapi pada hari Jumaat telah menyatakan bahawa mereka telah memulakan perbincangan dengan pekerja di kilang Chennai untuk menyelesaikan semua isu dengan segera. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini