MANILA: Polis Kebangsaan Filipina (PNP) merampas lebih 535,000 mercun haram bernilai lebih PHP2.5 juta (US$45,000) bagi memastikan sambutan malam Tahun Baharu lebih selamat.
Agensi Berita Filipina melaporkan jurucakap PNP, Brig Jen Jean Fajardo, berkata sehingga pukul 6 pagi Selasa, sebanyak 535,960 mercun haram telah dirampas, sementara 34 individu ditahan.
Polis turut merekodkan 18 kes tembakan tidak terkawal dengan 13 suspek diberkas.
Selain itu, terdapat empat kes kecederaan akibat peluru sesat dan 172 kes kecederaan berkaitan mercun.
Fajardo turut mengingatkan penguat kuasa undang-undang supaya tidak melepaskan tembakan secara sewenang-wenangnya.
“Kami menggesa anggota polis agar tidak menggunakan senjata api semasa sambutan Tahun Baharu. Mereka seharusnya memberi tumpuan kepada melaksanakan tugas mereka,” katanya dalam satu wawancara televisyen. – BERNAMA-PNA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.