CANBERRA: Pihak berkuasa Australia mengeluarkan amaran berhubung lonjakan dalam laporan buruh paksa dan eksploitasi di negara itu, lapor Xinhua.
Polis Persekutuan Australia (AFP) pada Isnin memaklumkan bahawa jumlah kes buruh paksa dan eksploitasi yang dilaporkan meningkat sebanyak 140 peratus sejak enam tahun lalu.
Data itu dikeluarkan oleh AFP sempena Hari Penghapusan Perhambaan Antarabangsa anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bertujuan mengetengahkan bagaimana rangkaian jenayah menyasarkan pekerja luar negara yang mudah terdedah untuk diperdagangkan ke Australia.
Komander eksploitasi manusia AFP Helen Schneider berkata kumpulan jenayah terancang memperlakukan mangsa pemerdagangan manusia seperti komoditi dan mengeksploitasi mereka demi keuntungan.
“Sindiket jenayah menggunakan taktik rekrut yang menipu untuk memerangkap individu terdedah ke dalam situasi yang mengerikan ini, memerangkap mereka dalam kitaran hutang, buruh paksa, atau perhambaan domestik yang tidak berkesudahan.
“AFP merupakan agensi utama yang menyiasat jenayah ini dan kami akan menyiasat setiap laporan yang diterima.
“Namun, kami juga menggesa orang ramai agar sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang kecurigaan mengenai kesalahan pemerdagangan manusia kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan.
Pihaknya menerima 69 laporan berkaitan buruh paksa dan eksploitasi 2023-24, meningkat daripada 29 laporan pada 2018-19 dan 2019-20.
Secara keseluruhan, AFP mencatatkan 382 laporan kesalahan yang berkaitan semua bentuk pemerdagangan manusia sepanjang 2023-24.
— BERNAMA-XINHUA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.