DENPASAR: Dua pelancong asing maut dalam kejadian pokok tumbang di Monkey Forest, Ubud di Pulau Bali, Indonesia.
Kejadian di kawasan pelancongan tersohor itu turut menyebabkan seorang cedera.
Memetik Kompas, pihak polis Gianyar mengesahkan, dua pelancong asing yang maut itu berasal dari Korea Selatan bernama Kim Hyoeun , 42, dan warga Perancis iaitu Justine Christine, 32.
Seorang lagi mangsa yang cedera juga berasal dari Korea Selatan.
Buat masa ini, pihak berkuasa mengarahkan kawasan pelancongan itu ditutup buat sementara waktu, dan siasatan kini dijalankan.
Dalam pelbagai video yang kini tular di media sosial, kelihatan sekumpulan pelancong asing lari bertempiaran apabila menyedari sebuah pokok yang tinggi dan besar tumbang ke arah laluan legar di lokasi tarikan itu.
Ada beberapa pelancong yang sempat menyelamatkan diri manakala ada yang terperangkap di bawah dahan dan ranting.
Monkey Forest terkenal dalam kalangan pelancong yang mahu berkunjung ke tapak kuil tradisional yang terletak dalam kawasan tanah rimba, dan sering kali ‘disapa’ dengan gelagat kawanan monyet dan kera di situ.
Susulan tragedi berkenaan, Ketua Perhubungan Masyarakat Polis Daerah Bali, Jansen Avitus, menasihatkan orang ramai dan pelancong supaya berwaspada semasa keluar dari rumah.
Dilaporkan, Bali ketika ini turut menerima tempias musim monsun dan banyak kawasan di sekitar pulau peranginan itu dibadai hujan lebat serta angin kencang, kerap mencetuskan risiko tinggi, terutama di daerah yang banyak pokok-pokok besar di pinggir jalan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.