comscore
Tumpuan :
Dunia

PM Thailand bertemu pemimpin perniagaan A.S. untuk tarik pelaburan asing

Foto: Reuters

BANGKOK : Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin mengadakan perbincangan dengan syarikat terkemuka Amerika Syarikat (AS) termasuk Microsoft, Google, Estee Lauder, dan JP Morgan, semasa lawatan sulungnya ke luar negara bagi menarik pelaburan asing.

Srettha yang mengetuai delegasi negaranya ke sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York berkata beliau bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk dan mengadakan perbincangan yang produktif mengenai pengeluaran EV Tesla, roket dan sateli SpaceX, selain syarikat Internet Starlink.

Disiarkan di “X”, Srettha yang juga Menteri Kewangan berkata beliau kagum dengan kemajuan kumpulan itu untuk kemanusiaan dan kami berkongsi visi yang sama untuk masa depan yang lebih bersih.

“Kami akan mengadakan perbincangan lanjut. Nantikan lebih banyak kejayaan inspirasi EV dan penerokaan angkasa lepas – bukan sahaja untuk rakyat Thailand, bahkan masyarakat global,” katanya.

Srettha dan Musk berbincang melalui sidang video.

Menjawab mesej Srettha, Musk berkata “Ia merupakan suatu penghormatan untuk bertemu. Thailand mempunyai masa depan yang sangat menarik!”.

Sementara itu, Srettha berkata beliau mengadakan perbincangan yang menarik dengan ketua pegawai eksekutif JP Morgan, Jamie Dimon.

“Dengan kehadiran lebih 50 tahun di Thailand, JPMorgan adalah antara beberapa bank global yang beroperasi di negara itu. Mesej saya kepada Jamie, mudah iaitu – Thailand terbuka untuk pelaburan,” tulisnya di “X”.

Pada Jumaat, Srettha juga bertemu wakil Microsoft bagi membincangkan masa depan pengkomputeran awan yang menarik dan peluang yang ditawarkannya untuk Thailand.

“Nantikan untuk melihat lebih banyak kerjasama awam-swasta dalam masa terdekat,” tulisnya di X.

Selain itu, Srettha juga melawat Bursa Saham New York (NYSE) dan menekan loceng menandakan permulaan sesi dagangan.

“Saya membunyikan loceng pembukaan NYSE pagi ini. Thailand terbuka dan bersedia untuk mengalu-alukan pelabur asing. Kami akan menjadikan pelaburan mereka berbaloi,” tulisnya.

Awal minggu ini, Srettha juga bertemu ketua pegawai eksekutif BlackRock Inc., Larry Fink, dan berharap syarikat itu menimbang untuk melabur di Thailand, terutama dalam menyokong pengembangan perusahaan berkaitan tenaga bersih.

“Fink menyatakan minat dalam pelaburan Bon Berkaitan Kemampanan yang akan diterbitkan oleh Kerajaan Diraja Thailand dan kemungkinan melabur di Thailand dalam tempoh terdekat,” katanya.

Srettha yang mengetuai kerajaan gabungan 11 parti, dipilih sebagai perdana menteri baharu pada 22 Ogos lepas.  – BERNAMA

Loading...
Terkini