comscore
Tumpuan :
Dunia

PM Thailand berikrar untuk ‘segera’ merangsang ekonomi

FOTO: Reuters

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra hari ini bertekad untuk segera merangsang ekonomi kerajaan baharunya dan akan meneruskan dasar bekas Perdana Menteri, Srettha Thavisin.

Mesyuarat Kabinet Khas diadakan untuk menyediakan dasar yang akan disampaikan pada mesyuarat dua hari Parlimen pada Khamis dan Jumaat depan, yang menandakan permulaan rasmi pentadbirannya.

Paetongtarn dipilih sebagai Perdana Menteri oleh Dewan Rakyat, bulan lalu berikutan penyingkiran mengejut Srettha oleh mahkamah atas alasan melanggar etika.

Pemimpin itu memberi komitmen, kerajaannya akan meneruskan dasar-dasar pendahulunya dengan beberapa pelarasan.

Ia termasuklah menangani isu seperti penstrukturan semula hutang, menyokong perusahaan kecil dan sederhana serta merancakkan sektor pertanian dan pelancongan.

Bagaimanapun, beliau tidak menjawab soalan mengenai kemungkinan pelarasan dalam skim dompet digital kerajaan atau bila ia mungkin dilaksanakan.

Skim itu memperuntukkan 50 juta rakyat Thailand menerima 10,000 baht (RM1,278) melalui aplikasi telefon pintar.

Minggu ini, Paetongtarn turut mengumumkan, sebahagian daripada 450 bilion baht (RM58 bilion) pelan pemberian kerajaan akan diedarkan secara tunai, namun tiada butiran lanjut diberikan. -REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini