
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, mengarahkan tindakan keras menyeluruh diambil terhadap rokok elektronik (e-rokok) dengan memberi amaran mana-mana pegawai yang didapati bersubahat akan berdepan tindakan tegas.
Jurucakap Kerajaan Thailand, Jirayu Huangsap, berkata arahan itu dibuat susulan laporan mengenai penjualan e-rokok yang meluas di seluruh negara.
Beliau mendedahkan lebih 3,000 barangan bernilai lebih 2 juta baht dirampas dalam serbuan terhadap penjual e-rokok haram di kawasan Kannayao dan Khok Kham, Bangkok.
Operasi ini meliputi hanya satu kawasan bawah Biro Polis Metropolitan, namun banyak vendor haram didapati beroperasi secara terbuka.
Jirayu mengetengahkan penemuan daripada laporan sulit mengenai perdagangan e-rokok dan rasuah berkaitan.
Beliau berkata, semua kedai yang diserbu itu tidak beroperasi secara tersembunyi, sebaliknya beroperasi secara terbuka di tepi jalan dengan paparan yang menarik perhatian, sekali gus menimbulkan pertikaian berkaitan tugas polis peronda.
Malah, beliau berkata, terdapat kedai yang beroperasi berhampiran sekolah, dengan laporan mendakwa pegawai tertentu telah menerima rasuah untuk ‘menutup mata’ terhadap aktiviti itu.
Jirayu berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri dan Setiausaha Kabinet, awal hari ini, dengan menekankan kurangnya penguatkuasaan terhadap penjualan e-rokok haram di seluruh wilayah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.