MOSCOW: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin mengarahkan Kementerian Pertahanan menangguhkan rancangan perolehan senjata hingga tahun fiskal 2024 bagi membolehkan kerajaan menggunakan bajet untuk membantu rakyat, lapor Sputnik memetik Bangkok Post pada Selasa.
“PM mahu belanjawan itu dibelanjakan untuk keperluan yang lebih mendesak iaitu membantu rakyat. Belanjawan yang telah diluluskan akan kekal tidak berubah,” lapor akhbar itu memetik sumber.
Dengan menangguhkan pembelian senjata, beliau mahu belanjawan itu digunakan untuk keperluan seperti membantu rakyat yang terjejas akibat bencana alam.
Komander Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) Phanphakdee Phatthanakul mengesahkan bahawa kerajaan telah meminta Angkatan Tentera agar memberi perhatian khusus dalam menangani bencana.
Beliau berkata RTAF akan menubuhkan panel petugas untuk mempertimbangkan mendapatkan jet pejuang baharu pada tahun fiskal 2025.
Beliau berkata perdana menteri sebelum ini berkata jika berhasrat membeli sebarang peralatan ketenteraan dari negara lain, RTAF perlu meyakinkan negara berkenaan untuk membeli produk Thailand sebagai sebahagian daripada perjanjian.
Sementara itu, Phanphakdee menafikan maklumat RTAF bakal memperoleh tiga jet pejuang Gripen Sweden tidak lama lagi, selepas Amerika Syarikat enggan menjual pesawat F-35A kepada Thailand.
Beliau berkata RTAF tidak meletakkan harapan untuk mendapatkan jet pejuang pada tahun 2024 atas sebab keadaan ekonomi negara.
Perjanjian perolehan jet baharu boleh dipertimbangkan pada tahun 2025 tetapi tidak pasti sama ada pesawat Gripen atau F-16.
Beliau berkata RTAF perlu menggantikan pesawat pejuang F-16 kerana penyahtauliahan pesawat itu dijadual antara 2028 dan 2031. – BERNAMA-SPUTNIK