BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, memperingati 90 hari pertama pentadbirannya dengan melancarkan wawasan berani di bawah kempen “2025 Empowering Thais: A Real Possibility”.
Paetongtarn menegaskan komitmen kerajaan pimpinannya untuk berkhidmat kepada rakyat dan membina sebuah negara yang membolehkan warganya berkembang dengan bermaruah dan makmur.
“Misi kami adalah untuk memperkasakan rakyat, mendekatkan kuasa kepada mereka, dan mewujudkan sebuah negara dengan setiap orang mempunyai peluang untuk maju dengan bermaruah.
Bersama-sama, kita akan menjadikan 2025 sebagai tahun kemajuan dan harapan, yang meletakkan asas untuk dekad yang lebih cerah,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di saluran NBT 11 pada Khamis.
Beliau turut menggariskan usaha menangani enam cabaran struktur kritikal yang dihadapi negara, dengan pengurusan air dikenal pasti sebagai keutamaan utama.
Antara inisiatifnya ialah menangani masalah banjir dan kemarau melalui kerjasama awam-swasta, mendalamkan terusan, serta meneroka projek besar laluan banjir untuk penyelesaian yang mampan.
Paetongtarn juga menekankan komitmen kerajaan untuk mengatasi pencemaran udara dengan penguatkuasaan undang-undang antipembakaran yang lebih tegas, perundingan rentas sempadan bagi menangani jerebu rentas sempadan, dan memperkenalkan Akta Udara Bersih yang baharu.
Dalam menangani penyalahgunaan dadah, beliau berkata pentadbirannya sedang memperhebat langkah penguatkuasaan dan memperkenalkan dasar lebih ketat untuk membendung masalah dadah yang semakin meningkat di negara itu.
Kerajaan pimpinannya juga berusaha memecahkan monopoli dalam sektor utama seperti pertanian dan tenaga dengan memperkenalkan inisiatif baharu, termasuk memperkasakan petani untuk mengeksport beras secara langsung dan memperbaharui undang-undang tenaga bagi mengurangkan harga kepada pengguna.
Perdana Menteri turut menekankan perancangan untuk memformalkan sektor ekonomi tidak formal dengan tujuan meningkatkan hasil negara, memperbaiki keselamatan, dan mengawal selia tenaga kerja tidak formal.
Bagi masa depan, Paetongtarn berkata Thailand berhasrat menjadi hab serantau bagi kecerdasan buatan (AI), disokong oleh pelaburan asing melebihi 1 trilion Baht untuk membangunkan pusat data dan infrastruktur teknologi yang kritikal bagi industri masa depan.
Beliau turut mengumumkan beberapa inisiatif baharu untuk 2025 yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat Thailand.
Inisiatif tersebut termasuk menghidupkan semula program “Satu Daerah, Satu Biasiswa” (ODOS), memperkenalkan semula Program SML kerajaan untuk memperkasakan komuniti tempatan, melancarkan program “Rumah untuk Warga Thailand,” dan melaksanakan sistem transit massa rel dengan kadar rata 20 Baht di kawasan Metropolitan Bangkok.
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.