![](https://media.buletintv3.my/2024/12/HQZIzm9R-BULETIN-TV3-AD-23.jpg)
SINGAPURA: Presiden ke-39 Amerika Syarikat (AS) Jimmy Carter, yang meninggal dunia pada Ahad, akan dikenang dengan penuh rasa hormat sebagai sahabat baik Singapura dan ASEAN, kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.
Wong menekankan bahawa semasa kepimpinan Carter, AS menjadi Rakan Dialog ASEAN pada 1977.
“Presiden Carter amat menghargai peranan AS dalam memupuk keamanan dan kestabilan di rantau ini. Pada tahun berikutnya, beliau menghadiri Mesyuarat Menteri ASEAN-AS yang pertama yang diadakan di Washington D.C.,” kata Wong di laman Facebooknya pada Isnin.
Beliau turut menyatakan bahawa mendiang Lee Kuan Yew, Perdana Menteri Singapura ketika itu, amat kagum dengan “pemahaman Carter mengenai fakta Singapura dan rantau ASEAN.”
“Singapura turut berdukacita bersama AS atas pemergian Presiden Jimmy Carter. Komitmen sepanjang hayatnya terhadap keamanan, kemanusiaan dan perkhidmatan meninggalkan legasi yang kekal di pentas global,” kata Wong.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Wong turut menyatakan solidariti Singapura bersama rakyat Korea Selatan dan semua yang terjejas akibat nahas pesawat Jeju Air pada Ahad, meragut 179 nyawa daripada 181 orang yang berada di dalam pesawat itu.
Wong berkata beliau amat terkesan dengan kejadian tragis itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan orang tersayang mangsa.
“Tragedi ini merupakan peringatan yang jelas tentang betapa rapuhnya kehidupan. Ketika kita berkumpul pada musim perayaan ini, marilah kita menghargai masa yang kita ada bersama orang yang kita sayangi dan menghargai setiap detik yang kita miliki bersama,” katanya.
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.