RIYADH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) secara konsisten mendesak pelaksanaan gencatan senjata serta-merta manakala bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza disegerakan.
Bercakap pada sesi kelapan Sidang Kemuncak Tergempar OIC bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin, beliau berkata umat Islam di seluruh dunia mengharapkan hasil ketara serta tindakan konkrit daripada sidang kemuncak yang berlangsung sehari itu.
“Saya menggesa semua anggota OIC agar menggunakan saluran dan rangkaian diplomatik masing-masing secara strategik dalam setiap dialog di semua peringkat sama ada dua hala atau pelbagai hala, serantau mahupun antarabangsa.
“Marilah kita secara konsisten dan tegas mendesak perkara itu dalam satu kempen diplomatik yang bersepadu untuk memulakan pelaksanaan gencatan senjata dan menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,” kata Perdana Menteri.
Sidang kemuncak tergempar itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Abdulaziz di Riyadh, dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.
Lebih 11,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh akibat serangan udara tanpa henti serta operasi darat yang kejam lebih sebulan oleh rejim Zionis di bumi Gaza manakala ribuan masih hilang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Menurut sebuah pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, pengeboman bertubi-tubi oleh Israel menyaksikan pesawat pejuang rejim itu telah menggugurkan lebih 25,000 tan bahan letupan di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu, bersamaan dua butir bom nuklear.
Perdana Menteri, yang tiba di Riyadh petang semalam, juga berharap semua aktiviti petempatan dan keganasan oleh peneroka terbabit terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dihentikan serta-merta.
Beliau turut menggesa semua pihak yang mencabuli undang-undang antarabangsa termasuk melakukan jenayah perang disiasat dan diheret ke mahkamah menerusi institusi antarabangsa.
Malaysia, kata Anwar, menyokong Inisiatif Keamanan Arab dan rundingan bersama pengantara terkemuka bagi menjayakan penyelesaian dua negara dengan pengiktirafan kepada negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 serta Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Perdana Menteri juga mahu tindakan penyingkiran paksa orang awam di Palestin dihentikan serta-merta dan menggesa negara anggota OIC memerangi habis-habisan peningkatan global dalam Islamofobia serta melindungi hak untuk menyatakan sokongan kepada perjuangan Palestin secara aman.
“Gaza telah menjadi kubur untuk mereka yang tidak bersalah dan golongan syahid, kebanyakannya kanak-kanak Palestin. Tiada kediaman, hospital ataupun rumah ibadat sama ada Islam atau Kristian, selamat daripada serangan yang dilakukan secara sembarangan oleh Israel,” katanya.
Beliau berkata, kesinambungan politik yang merampas hak rakyat Palestin bukanlah dilakukan secara senyap-senyap sebaliknya ia dapat disaksikan oleh seluruh dunia dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa secara terang-terangan.
“Kelas politik negara-negara Barat ketika ini mempamerkan sikap rabun jauh terpilih dalam krisis di Palestin,” katanya.
Anwar berkata, perubahan besar mengenai perkara itu telah berlaku sebagaimana ditunjukkan dalam demonstrasi besar-besaran di seluruh dunia yang belum pernah terjadi sebelum ini termasuk di negara Barat, untuk menyokong Palestin.
“Ironinya, di kesemua ibu kota ini yang kononnya memperjuangkan kebebasan bersuara dan meletakkan hak asasi manusia sebagai sesuatu yang suci, sesetengah pihak berkuasa telah mengecam pihak yang menyokong perjuangan Palestin serta menyifatkan mereka sebagai penyebar ucapan berbaur kebencian dan penyokong keganasan.
“Ini adalah dwistandard songsang,” kata beliau.
Perdana Menteri turut memuji inisiatif Kerajaan Arab Saudi untuk mengadakan sidang kemuncak tergempar itu.
“Saya memuji Tuanku kerana memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan Palestin dan kecaman Tuanku terhadap penjajahan serta kekejaman yang dilakukan oleh Israel. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden esir, Fattah El-Sisi kerana memudahkan penyaluran bantuan kemanusiaan,” katanya. – BERNAMA
| ARTIKEL BERKAITAN
- PM tiba di Riyadh untuk hadiri Sidang Kemuncak Tergempar OIC
- [VIDEO] UNGA terima resolusi gencatan senjata perang Israel-Palestin
- Perang Israel-Palestin: China gesa gencatan senjata
- [VIDEO] Duta Palestin gesa Biden suarakan gencatan senjata Israel
- Malaysia gesa gencatan senjata di Gaza
- Menteri pertama Scotland gesa gencatan senjata segera di Gaza
- Gesa gencatan senjata atau hilang undi? Pertubuhan Islam A.S desak tindakan segera Biden
- [VIDEO] Duta Palestin gesa Biden suarakan gencatan senjata Israel
- 18 agensi PBB gesa gencatan senjata di Gaza