Tumpuan :
Dunia

PM akan berucap pada sidang kemuncak ASEAN-JEPUN

Oleh: Halim Mohamed

TOKYO: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Jepun yang sedang berlangsung di Tokyo.

Beliau dijadual berucap dalam tiga sesi di hadapan sembilan pemimpin Asean termasuk Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.

Antara lain, pendirian Malaysia terhadap pertikaian maritim di Laut China Selatan, keselamatan Selat Melaka serta isu perang Israel – Palestin dijangka menjadi tumpuan ucapan Perdana Menteri.

Ia termasuk isu-isu serantau dan antarabangsa lain antaranya keselamatan makanan, perubahan iklim, ancaman siber serta ekonomi digital.

Sidang kemuncak itu menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN-Jepun dan kedua-dua pihak akan menyemak semula kedudukan hubungan serta membincangkan usaha ke arah meningkatkan perkongsian, termasuk mengenal pasti bidang kerjasama baharu.

Pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai isu-isu yang berkepentingan bersama.

September lalu, ASEAN dan Jepun sepakat untuk menubuhkan Perkongsian Strategik Komprehensif yang substantif dan saling menguntungkan.

Ke arah melaksanakan kesepakatan itu, sidang kemuncak peringatan berkenaan dijangka memperakukan Kenyataan Wawasan Bersama dan Pelan Pelaksanaannya yang akan menjadi dokumen-dokumen panduan untuk melakar hala tuju strategik perkongsian ASEAN-Jepun untuk masa hadapan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini