Tumpuan :
Dunia

Pilihan raya umum Syria 4 tahun lagi

DUBAI: Pilihan raya umum Syria boleh mengambil masa sehingga empat tahun, menurut pemimpin baharunya, Ahmed al-Sharaa, yang menerajui kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS).

Dalam satu wawancara, Ahmed, juga dikenali sebagai Abu Mohammed al-Golani, turut menyatakan kepentingan hubungan dengan Iran dan Rusia serta menggesa Amerika Syarikat (AS) untuk menarik balik sekatan.

Ujarnya, proses pilihan raya boleh mengambil masa empat tahun kerana terlalu banyak perkara perlu diselesaikan terlebih dulu selepas menyingkirkan rejim Bashar al-Assad.

Perlembagaan perlu ditulis semula yang mungkin mengambil masa dua atau tiga tahun.

Dalam temu bual itu, beliau turut menyatakan harapan untuk pentadbiran Presiden baharu AS, Donald Trump, menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas negaranya yang dilanda perang dan dibelenggu kemiskinan di bawah Bashar.

HTS pimpinan Sharaa sebelum ini ditakrifkan sebagai pertubuhan pengganas oleh banyak kerajaan termasuk AS.

Pemimpin itu juga menyatakan kepentingan hubungan dengan Rusia dan Iran, dengan kedua-duanya adalah sekutu utama Bashar.

Tambahnya, semua senjata Syria berasal dari Rusia dan banyak loji janakuasa diuruskan oleh pakar negara itu.

Sharaa juga berkata pasukan tempatan yang diketuai Kurdish dan ditentang Turkiye, harus diintegrasikan ke dalam tentera negara.

Tambahnya, berdasarkan kriteria itu, pihaknya akan membuka dialog dengan SDF dan mungkin mencari penyelesaian terbaik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini