comscore
Tumpuan :
Dunia

Pilihan raya Parlimen: Perancis berdepan potensi ‘kebuntuan politik’

Rakyat Perancis menunggu keputusan selepas pusingan kedua pengundian diadakan bagi pilihan raya Parlimen, semalam. – FOTO: Reuters

PARIS: Perancis berdepan potensi ‘kebuntuan politik’ selepas unjuran keputusan pusingan kedua pengundian, semalam, dilihat membawa ke arah status Parlimen tergantung apabila pakatan berhaluan kiri tanpa dijangka berjaya mengatasi parti berhaluan paling kanan tetapi tiada pihak memenangi majoriti pada pilihan raya kali ini.

Ia sekali gus menyekat kemaraan National Rally (RN) pimpinan Marine Le Pen, walaupun tinjauan pendapat sebelum ini meramalkan parti berhaluan paling kanan itu berupaya menguasai pusingan kedua pengundian selepas melakar kemenangan bersejarah dalam pusingan pertama pengundian pada 30 Jun lalu.

 

Pemimpin National Rally (RN), Marine Le Pen

Keadaan itu juga dilihat memberi tamparan kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang kini diuji dengan status Parlimen amat berpecah-belah sehingga dikhuatiri boleh melemahkan peranan negara ini di pentas antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah, selain menyukarkan pencapaian agenda domestik.

Hasil pilihan raya kali ini bakal membahagikan penguasaan Parlimen kepada tiga kumpulan besar – berhaluan kiri, tengah serta paling kanan – dengan platform sangat berbeza dan langsung tiada tradisi berganding bahu antara mereka sebelum ini.

Setakat ini, masih belum ada kepastian berhubung apa yang akan berlaku seterusnya.

Pakatan berhaluan kiri, New Popular Front (NFP) telah menegaskan dengan segera – pihaknya mahu berada dalam pentadbiran kerajaan.

Antara agenda ditawarkan NFP pada pilihan raya kali ini ialah menetapkan harga siling terhadap barangan penting seperti bahan api dan makanan, menaikkan gaji minimum kepada kadar bersih 1,600 euro sebulan, menaikkan gaji kakitangan sektor awam serta melaksanakan cukai kekayaan.

“Kemahuan rakyat mesti dihormati sepenuhnya. Presiden mesti menjemput NFP untuk mentadbir,” kata pemimpin berhaluan kiri, Jean-Luc Melenchon.

Semakin banyak keputusan rasmi menyusul dengan hasil pengundian daripada sebahagian besar, jika bukan semua, kawasan pilihan raya dijangka diketahui pada pagi ini.

Agensi pilihan raya meramalkan pihak berhaluan kiri akan memenangi antara 184 hingga 198 kerusi, pakatan berhaluan tengah sokongan Macron (160-169) dan RN bersama sekutunya (135-143). – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini