comscore
Tumpuan :
Dunia

Pilihan Raya Negeri India: BJP menang negeri terkaya, pembangkang kekal di kawasan kaya mineral

FOTO: Reuters

NEW DELHI: Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri India Narendra Modi dan sekutunya mencatat kemenangan besar di Maharashtra, negeri terkaya di negara ini, manakala blok pembangkang menunjukkan prestasi cemerlang di Jharkhand, wilayah yang kaya mineral.

Keputusan pengiraan undi pada Sabtu bagi pilihan raya dewan undangan di kedua-dua negeri itu menunjukkan BJP mendahului dengan 130 kerusi dalam dewan yang mempunyai 288 kerusi, sementara sekutunya di peringkat  wilayah, Shiv Sena, dijangka menang 54 kerusi.

Parti Kongres Nasionalis (NCP), yang merupakan sebahagian daripada pakatan “Mahayuti” yang diterajui BJP, pula mendahului di 40 kawasan, menurut trend rasmi terkini.

Pesaing mereka dalam pakatan “Maha Vikas Aghadi” yang merangkumi Kongres Kebangsaan India (INC) pimpinan pemimpin pembangkang Rahul Gandhi, serpihan NCP yang diketuai veteran politik Sharad Pawar, serta serpihan Shiv Sena yang diterajui Uddhav Thackeray, mendahului di kira-kira 50 kerusi.

“Saya berterima kasih kepada semua atas kemenangan ini. Kami mencapai kemenangan besar ini hasil kerja Mahayuti,” kata Ketua Menteri Maharashtra, Eknath Shinde, seperti dilaporkan.

Di negeri timur Jharkhand, Jharkhand Mukti Morcha (JMM) pimpinan Ketua Menteri Hemant Soren mendahului di 34 kerusi, sementara rakan sekutunya, Kongres dan Rashtriya Janata Dal (RJD), masing-masing dijangka memenangi 15 dan empat kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya India pada 15 Okt mengumumkan bahawa negeri Maharashtra dan Jharkhand akan mengadakan pilihan raya dewan undangan negeri pada November.

Kira-kira 96 juta pengundi layak memilih 288 anggota dewan undangan Maharashtra pada 20 Nov, manakala 26 juta pengundi Jharkhand mengundi dalam dua peringkat pada 13 dan 20 Nov untuk memilih 81 wakil.

Pengiraan undi berlangsung pada 23 Nov.

Pilihan raya kecil juga diadakan bagi dua kerusi parlimen nasional — Nanded di Maharashtra dan Wayanad di negeri Kerala — serta 48 pilihan raya kecil dewan undangan di pelbagai negeri. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini